Sunday, July 30

...fikir orang lain dulu...

Segala pujian bagi Allah yang memberikan aku peluang hari ini untuk menulis lagi. Sekian lama aku tidak mengisikan laman minda aku ini dengan muntahan pemikiran aku, yang aku kira dari hari ke hari semakin bertambah beban fikirannya, tapi kefahaman dan kematangan, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Hari ini sungguh meletihkan, dan begitu juga hari-hariku yang lain. Moga Allah menjadikan aku letih kerana menjunjung perintahnya, dan tidak pula letih mengejar tuntutan nafsu yang merewang tak tentu hala. Seperti kata seorang akh, jadikan letihnya kamu itu bagi dua perkara, samada letih melaksanakan usaha dakwah atau letih mengulangkaji pelajaran.
Dalam berfikir-fikirnya aku beberapa hari yang lepas, aku teringat akan dialog antara aku dengan seorang akh ketika Winter Trip 2006 yang lepas. Sungguh kata-kata yang datang dari suara yang penuh keikhlasan dan penuh emosi mampu memberikan kesan kepada diri yang menerima. Walau sebanyak mana sekalipun kata-kata yang aku baca, andai tidak datang tepat pada masanya aku memerlukan kata-kata itu, aku yakin ia tidak menjadikan aku seorang yang lebih baik, sekadar orang yang bertambah ilmunya.
Dialog itu terjadi di saat-saat akhir perjalanan kami. Malam sebelum kami bertolak pulang ke Melbourne kembali dari bandar Brissy(Brisbane). Waktu itu peserta trip sedang bersiap-siap. Kami diberi masa untuk hemat diri. Namun aku mengambil peluang untuk meninjau situasi di dapur. Tidak pernah aku terasa tenang sepanjang perjalanan kami 7 hari itu bila memikirkan tentang makanan para peserta. Tanggungjawab yang pada mulanya aku fikir mudah, namun praktisnya amatlah menguji kesabaran dan kesanggupan aku. Semasa aku meninjau-ninjau skuad memasak tika itu, aku didatangi seorang akh sambil tersenyum. Kemudian dia memulakan perbualan, menanyakan tentang persembahan yang aku akan sertai. Pantas aku menjawab yang aku sekadar bernasyid bersama ahli van aku. Namun dileretnya senyuman lagi. Sinis atau bermakna aku tidak tahu. Kemudian aku hanya bertegas dengan kedudukan aku.
Namun hati aku tetap bergejolak. Kejutan apa yang menunggu aku malam ini? Kerana kecurigaan aku, aku lantas menghampiri seorang akh yang berkaitan. Aku melontarkan soalan yang terpendam dalam benak fikiran aku. Dan seperti biasa, dia mengangguk, mengiakan. Malah lebih bersemangat, memegang bahuku meminta aku melakukan yang terbaik untuk tugasku itu. Tugas yang aku fikir di akhir waktunya, memang sudah tidak mampu aku persiapkan diri aku untuknya. Namun dia bertegas dan menyatakan bahawa masih belum terlambat. Seperti aku yang dahulunya, aku menolak dan aku berdalih. Berdalih dan terus mencari alasan. Aku berlalu dan terus ke tandas mengambil wudhu untuk bersiap solat maghrib.
Di surau, aku berfikir lagi. Memang sudah tidak sempat rasa aku. Kemudian akh yang pertama tadi tersenyum lagi. Ditanyanya aku samada sudah bersedia atau tidak dan aku terus melemparkan jawapan aku; tidak ada persembahan apa-apa dari aku, hanya nasyid bersama ahli van. Kemudian aku berpaling dari hal ini dan terus menumpukan perhatian kepada solat yang akan ditunaikan dan tazkirah yang datang selepasnya.
Selesai solat maghrib dan tazkirah, peserta dikumpulkan mengikut van masing-masing dan diberikan masa untuk berlatih persembahan masing-masing sehingga isya. Aku kemudiannya menyertai ahli-ahli van aku dan kami memulakan latihan kami. Kemudian aku didatangi lagi akh yang kedua tadi dan dipanggilnya aku untuk berdialog. Dia menggesa aku bersiap untuk persembahan yang dinyatakannya tadi dan kali ini dia bersungguh benar mahu aku melakukannya. Aku tetap menolak sehingga aku menyatakan aku terlalu letih dan tidak mampu untuk melakukannya saat itu. Ketika itulah aku dijamu dengan kata-kata yang barangkali sungguh memakan jiwa tika itu.

"Apa yang tak sempatnya? Ada lagi masa nak prepare. Enta letih, ana pun letih, semua orang letih. Enta fikir diri enta saja sekarang ni. Enta kena fikir orang lain dulu, ikhwah-ikhwah yang lain. Orang semua tengah keletihan, bernasyid saja tak cukup. Apa yang enta boleh buat ni boleh naikkan semangat ikhwah-ikhwah kita. Bila lagi nak ada ikhwah-ikhwah interstate dengan budak-budak UK bersama dengar enta bersajak?"

Kata-kata akh ini begitu memberikan aku mesej yang jelas. Bukan aku yang harus diutamakan, bukan kesan kecil yang akan menimpa diri aku yanag harus aku utamakan. Bukan kerehatan yang sekejap ini yang harus aku fikirkan. Tapi apa yang lebih penting adalah apa yang ikhwah-ikhwah lain dapat manfaatkan dari aku. Apa kebaikan yang dapat aku sampaikan kepada mereka? Apakah nilai ukhuwwah andai aku masih bergantungan mengharap keselesaan dari penat lelah ikhwah yang lain? Apakah sumbangan aku dalam tarbiyah di bumi Australia ini? Soalan-soalan ini lantas berlegar pantas di dalam fikiran aku. Aku berfikir sejenak dan kemudian, atas rahmat Allah yang Maha Mengetahui, aku melafazkan persetujuan aku. Aku melangkah ke meja berhampiran dapur dan terduduk memikirkan bait-bait yang dapat aku sampaikan. Bait-bait yang dapat menjadi pengubat ikhwah-ikhwah yang sedang membara semangatnya. Ikhwah-ikhwah yang aku harapkan tidak bertakhta di dalam kenangan aku sebagai mereka yang menempuhi kegagalan. Akhirnya aku siap menuliskan bait-bait itu atas limpah kurnia Allah yang Maha Mengurniakan dan yang mengajar mansuia apa yang tidak diketahuinya.
Selesai solat isya, persembahan pun bermula dan giliran aku yang terakhir sekali sebelum sesi bernasyid beramai-ramai. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Hati terasa lagi tenang apabila melihat ikhwah-ikhwah yang lain meraut tersenyum. Aku mengharapkan apa yang ingin aku sampaikan di fahami mereka.

" Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui" (2:216)


Thursday, July 20

Ketahuilah Kisah Aku




Sekelian manusia,
ketahuilah kamu semua
bahawa aku bercita-cita,
mengimpikan kehidupan
yang kamu rasai
sebuah jenaka murahan.

Ketahuilah bahawa aku punyai cara,
yang aku perah dari al-Quran,
yang aku tadah dari Sunnah.
Dan ingatlah bahawa padaku,
hanya ada jalan yang satu ini,
yang jelas kau ragui.

Wahai manusia!
Kali ini dengarkanlah kisah aku.
Tatkala kalian menjamah dari hidangan yang pelbagai,
aku menghabiskan dari sisa-sisa harta yang jarangnya ada.
Tatkala kalian bercanda bersama anak-anak,
aku landaskan tarbiyyah mengenali Allah dan RasulNya buat mereka.
Tatkala kalian mengamati dan terleka dengan alam,
lantas menebar senyum kepuasan,
aku tersenyum melihat lahirnya seorang lagi akh dalam lesunya aku.
dan tatkala kalian disirami wangian pujian,
aku menadah debuan cercaan, dimandikan peluh kata-kata manusia.
Tetapi ia kan hilang ditiup angin,
angin setanggi syurga firdausi.

Wahai manusia,
ketahuilah aku,
dan kenangkanlah jalanku.

Thursday, July 6

Wahai Pemuda

Wahai pemuda,
yang menyimpan pelbagai rahsia,
yang memikul amanah yang Esa,
dibebani keharmonian untuk ditabur ke dunia.
Bukanlah kau di sini untuk suatu kekosongan,
bukan juga aku di sini untuk itu.
Yang pasti, aku menemui tujuanku,
aku menemui matlamatku,
dan buat kau, fikirkanlah sejenak...

Wahai pemuda,
Mulailah dengan jiwamu,
padamkanlah tumpahan tinta jahil darinya,
dan simbahkanlah dengan kejernihan dan kesucian islam.
Kerana itulah kuncimu, kunci kepada pintu hidayah Allah.

Wahai pemuda,
Kemudian, kau sorongkanlah usahamu, keringatmu,
tatanglah syahadahmu.
Biar tumpah segala yang lain padamu,
masamu, hartamu, dan jiwamu,
asal yang ditatang tidak berciciran,
yang dikendong tidak berjatuhan.

Wahai pemuda,
tatkala kamu merasakan keseorangan,
bawalah dirimu kepada kerabat firaun,
yang membela kebenaran dengan imannya.
Tatkala kau terasa ditekan dan dizalimi,
kenangkanlah kisah pemuda kahfi,
yang beruzlah dari kezaliman, demi memperjuang iman.
Tatkala kau merasa ragu dan lemah,
maka kau dendangkanlah jiwamu dengan kisah semut dan Sulaiman,
semut yang menyeru kaumnya di lembah semut agar tidak diinjak,
tidak dipijak tentera Sulaiman.
Tatkala kau menghampiri manusia,
maka kenangkanlah kisah Musa bertemu firaun,
dalamilah ketenangan Musa, kelembutan Musa.
Dan tatkala kau terasa lemah dan ingin berpaling,
kenangkanlah bahawa tanpa kau, akan tiba yang lain,
yang meredhai dan diredhai,
dan yang lebih unggul dari dirimu...

Wahai pemuda,
kini bukan lagi waktu lena,
bangkitlah, dan jauhilah dari api yang membakarmu.

Wahai pemuda,
wahai pemuda,
wahai pemuda....
Kini, atau tiada lagi....

(Winter Trip, 2006)