Saturday, February 9

Sekali tidak bermakna sudah memadai

Tahun ini tahun terakhir saya. Dalam sedar, masa berlalu sudah tiga tahun. Dari budak baru ke orang lama di bumi Australia. Dari entah siapa kepada saya. Jujurnya, ramai kawan-kawan terkejut dengan perubahan dan perbezaan yang ada pada saya. Tapi saya perlu peduli apa? Ini hidup saya, dan saya tekad nak masuk syurga. Nak kata apa, ikut lu punya suka. Banyak perkara yang saya belajar, dan salah satunya yang saya terfikir untuk berkongsi hari ini, adalah seperti yang tertera di atas, sekali tidak mungkin sudah memadai.

Saya baru kembali ke bumi Melbourne. Suasana tak banyak berbeza, tapi orang-orangnya mungkin berbeza. Yang datang kembali, mungkin dengan azam dan persepsi yang berbeza. Yang baru datang, macam-macam kerenah mereka. Tapi itu semua membuatkan saya gembira. Apa tidaknya, ini entah kali ke berapa saya dapat mengulang cuba pelbagai perkara. Juga dapat menambah baik segenap usaha. Perasan tak setiap ayat yang anda baca, akhir lafaznya sama? Senyum kalau anda suka. =)

Kali ini saya hanya membawakan pendapat saya. Mungkin benar, mungkin tidak. Tapi bagi saya, ia ada benarnya. Cuba anda kira berapa banyak buku yang telah anda baca? Berapa jenis? Kita kecilkan skop buku bacaan kita. Tolak tepi buku fikrah, tolak semua buku nikah, apalagi entah yang apa-apa entah. Kita ambil kira buku sirah cukup. Kira kembali berapa banyak buku sirah, tentang Nabi Muhammad s.a.w. yang telah kita baca. Mungkin yang lazim, Ar-Raheeq Makhtum, Fiqh Sirah oleh Said Ramadhan al-Buty, Sirah Nabawiyah oleh Mustafa Siba’i, Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam dan apa lagi? Baik, kita ambil Ar- Raheeq Makhtum dan Sirah Nabawiyah Musatafa Siba’i. Berapa kali anda sudah menelaahnya? Saya bukan bertanya, berapa kali anda sudah membacanya? Tapi menelaah. Beza ya kawan-kawan.

Kali pertama saya membaca Ar-Raheeq Makhtum, ia umpama satu kisah yang paling hebat dalam sejarah manusia. Kemudian saya melangkah kepada Sirah Nabawiyah Mustafa Siba’i. (Nampak tak kenapa saya minta pertimbangkan hanya dua buku di atas? =) ) Kemudian saya berhenti membaca sirah sebentar. Masuk pula kepada buku-buku fikrah. Di sini, pemikiran mula berubah. Mula nampak perkaitan antara satu hal dengan yang lain. Mula sedar mengapa Nabi buat begini begitu, mengapa yang lain buat begini begitu pula. Kemudian bila mula menelaah sirah, sesuatu yang berbeza datang. Persoalan ada yang terjawab, dan ada baru yang timbul. Pendangan terhadap isu mula berubah, dan ada yang tertanya.

Sebenarnya, serupa sahaja bagi satu-satu buku sekalipun. Pernah anda baca Risalah Ta’alim? Ceritakan pengalaman anda membacanya buat kali pertama. Meluap bersemangat, konon penuh dada siap siaga. Da’wah ku kendong tapi entah ke mana. Betul? Kemudian pernah anda telaah lagi? Dan lagi? Dan lagi? Cuba anda cari di celahan Risalah Ta’alim, pesanan sang penulis, Tulisan ini bukanlah pelajaran yang perlu dihafal, tetapi ia adalah taklimat yang perlu dilaksanakan. Bukan sekali harung terus habis ikan di lautan. Beribu kali memukat, masih banyak yang berenang di bawah tongkang. Teliti pula karangan Muhammad ‘Abdullah al-Khatib tentang Risalah Ta’alim, Apa yang dikehendaki agar para ikhwah terus meneliti risalah ini berulang kali, mengkajinya dan melaksanakan segala tuntutannya. Mudah tak membaca buku?

Yang di beri contoh hanyalah berkenaan membaca bahan islami. Bagaimana tentang ilmu khusus yang anda pelajari? Seperti di atas atau tidak? Serupa sahaja bukan? Jadi jika ketika peperiksaan anda tidak mampu menjawab, jangan salahkan soalan diputar ligat sampai susah nak aplikasikan benda yang dah di ajar. Tapi renung kembali, sudahkah anda selesai membaca semua nota-nota anda? (Ketika ini, penyesalan tidak berguna lagi. Teruskan menjawab). Yang ini hal study.

Jadi macamana dengan hal yang lain? Hal kemahiran menarik hati manusia untuk menyampaikan islam? Atau mudahnya, da’wah? Cukupkah sekali mencuba kemudian, Ini memang kes luar biasa. Dah tak boleh buat apa. Berserah saja. Mungkin kelak Allah akan buka pintu hati dia. Renungkan kisah Abu Bakar menda’wahi Bilal. Dari pagi, di suruh datang kemudian. Sampai ke petang di suruh lagi kemudian. Kemudian Abu Bakar tidak mampu menunggu lagi, dia datang di malam hari sehingga Bilal menyoal, tidakkah sempat jika datang sahaja esok hari. Lantas As-Siddiq menyoal, yakinkah esok akan ada buat kamu? Beliau mencuba berkali-kali. Tidak mencuba hanya sekali. Lihat pula Abbas As-Sissi. Berapa jenis kemahiran da’wah yang dicubanya? Berapa kali beliau terus mencuba? Cukupkah sekali maka memadai? Da’wah perlu dilaksanakan berkali-kali. Dari satu tahap ke tahap yang lain pula. Yang dibicarakan hanya da’wah fardhiyah. Bagaimana yang lain? Sekali buat, sudah memadaikah?
Fikir sekejap. Nanti habiskan pembacaan.

Dah habis fikir? Saya rasa sekali tidak mungkin sudah memadai. Anda bagaimana pula?

Saya terfikir juga, memadaikah sekali sahaja menunaikan solat sunat nikah? =)

Thursday, January 24

Jika yang Dilamar Seakan Zainab Ghazali

Mungkin luar dari skop ruang ini yang telah lama menyepi. Tapi sekian lama tidak menulis bukan kerana pincangnya aturan waktu tapi di curah ke mangkuk lain yang lebih besar. Kini masih di tanah air, menanti waktu untuk pulang, mencari tingkap bukti untuk menjadi yang lebih baik dari yang lalu.

Cuti tahun ini paling banyak walimahan yang dipenuhi. Itupun masih ada yang terlepas. Maaf bagi yang menjadi mangsa, benar-benar tidak tercapai. Bagi yang telah menikah, moga Allah merahmati dan memberkati kamu semua dan mengurniakan kebaikan pada rumahtangga kamu dan mengurniakan zuriat yang akan menegakkan kalimah Laa ilaha illallah di muka bumi, InsyaAllah. Berbicara tentang walimah dan pernikahan, tertarik untuk dibicarakan sedikit sebanyak dari apa yang disoal pada yang baru menikah dan dari himpunan kado-kado yang menjadi rebutan tak sedikit sahabat-sahabatku.

Menarik untuk di gali semula kisah akh Marwan yang dinukil zaujah seorang teman, begitu membuka minda dan membuatku tersenyum nipis. Lancang idea yang dilontar tapi tak jauh dari realiti dan kebenarannya mampu mengusik jiwa yang terjebak dengan jenayah itu(hanya sebagai metafora, tak salah, cuma….). Kisahnya secara ringkas berbunyi begini; ada ikhwah(atau mungkin banyak) yang bila mencari calon isteri, tergamak mencari yang paras rupanya cantik dan lebih muda dan sebagainya sedang ramai lagi akhwat yang telah lanjut umur yang masih tidak menikah dan keperluannya lebih tinggi(betulke penafsiran ni?). Namun, realitinya, kebanyakan ikhwah menaruh harapan agar sang pendamping hidup indah paras rupa, baik agamanya dan keturunannya serta cukup hartanya. Biar perfect, nanti keluarga menjadi penuh sakinah mawaddah dan rahmah. Tapi entah berapa ramai yang memenuhi kriteria itu semuanya?

Sebaik menelaah dan berdiskusi isu hangat ini bersama beberapa ikhwah, banyak yang mengiakan, bahkan 100%. Mungkin kenalan aku tak ramai, masih belum mencecah kepenuhan phonebook SAMSUNG-ku yang berkapasiti 1000 kenalan. Namun jelas rata-rata menyokong idea ini, bahawa memang seharusnya kita mempertimbangkan kembali ciri-ciri pasangan hidup yang hendak di cari. Yang mana kita utamakan dan yang mana kita kehendakkan? Sendiri pilih.

Di pihak lain pula, mungkin tidak keterlaluan untuk mengungkit adanya akhwat yang memilih untuk mandapatkan ikhwah yang lebih hebat darinya dengan alasan agar dapat membimbing dengan baik di atas jalan dakwah, atau paling tidak pada tahapnya juga. Ada reasoning takut nanti dipandang rendah pada suami, boleh jadi nusyuz. Tapi tidak semua begini, bahkan mungkin sahaja tuduhan ini meleset. Asif jiddan.

Seperti biasa, buku kegemaran bila bicara bab munakahat, hasil karya kontemporari Mohammad Fauzil Adhim menjadi pilihan rujukan. Namun bukan Kado yang menjadi sumber ketertarikan, tapi yang lebih kecil. Suka untuk saya kongsikan beberapa bahagian kecil, moga tidak terlibat menjadi pencuri idea.

Buat sang ikhwah;

Ketika engkau bertanya kepadaku tentang pendamping hidup yang sempurna, seakan-akan kulihat Aisyah. Dialah isteri Nabi s.a.w. yang banyak menimbulkan takjub pada hati yang merindukan kemesraan. Dia pula isteri Nabi yang kecerdasannya membuat para sahabat berdatangan kepadanya untuk belajar. Bila orang membicarakannya, kita selalu teringat akan peristiwa bagaimana ia berkejaran mesra dengan suaminya, Muhammad s.a.w.. ..mendengar julukannya Humaira, terbayang rumahtangga yang romantis…orang yang baru menikah-apalagi belum- akan segera diliputi impian tentang isteri manja dan menggemaskan. Bayangan tentang suasana romantis itu sayangnya kadang-kadang tidak diimbangi dengan membayangkan kecemburuannya yang sangat besar….kita siap dengan romantisnya, tetapi tidak siap dengan rasa cemburu dan kecurigaannya.

Terkadang, yang menyebabkan kita merasa kecewa bukanlah kerana pasangan kita begitu menjengkelkan melainkan kerana harapan yang tidak berimbang. Kita berharap dapat isteri seperti Aisyah, tetapi tidak siap dengan cemburunya yang begitu besar….sangat berhasrat mempunyai isteri yang cerdas dan hebat, tetapi tidak siap membimbingnya dari keadaan tidak tahu apa-apa. …di balik kebesaran Aisyah, ada suami yang dengan sabar mendidiknya. Di balik kemesraannya, ada kelembutan suami untuk sentiasa memahami…

…Impian tentang pendamping hidup yang penuh perhatian justeru menyebabkan kita senantiasa merasa kurang terhadap apa yang kita terima. Ini memudahkan kita mengalami kekecewaan. Jika ia mencapai titik kulminasi yang tak terbendung lagi, akhirnya dapat memicu pertengkaran. Ada ledakan emosi pada diri sehingga terucapnya kata-kata buruk. Ketika tak kuat menahan kemarahan,..kita ungkapkan rasa tidak suka secara terang-terangan…

…Perlunya menyeimbangkan harapan ini juga perlu dimiliki oleh para isteri. Tak ada salahnya kita berdoa memohon suami yang sempurna, tetapi pada saat sama kita harus melapangkan dada untuk menerima kekurangan. Kita boleh memancangkan harapan, tapi kita juga perlu bertanya apa yang sudah kita persiapkan agar layak mendampingi suami idaman. Wallahu a’lam bishawab.[i]

Buat sang ikhwah dan akhwat;

Suatu ketika sang ikhwah hendak menikah. Segala sesuatu telah ia persiapkan sebaiknya. Akan tetapi, rencana itu harus gagal kerana akhwat yang dipinangnya membatalkan pinangan kerana satu sebab yang dirasanya sangat mendasar, yakni pengetahuan agamanya belum sebanding. Ia tidak kufu…bila ingin menikah, ia harus terlebih dahulu mengejar ketertinggalannya dalam ilmu dengan mengaji pada ustaz yang ditentukan akhwatnya….

…Nabi s.a.w. tidak mensyaratkan kesederajatan dalam ilmu agama. Nabi menunjukkan, tingkat keberagamaan dan kebagusan akhlaqlah yang harus menjadi ukuran. Orang yang memiliki ilmu luas, meliputi pokok-pokoknya hingga percabangannya secara matang bukan merupakan jaminan ia memiliki kecintaan yang besar terhadap agama….

Bila kecintaan pada agama sudah mempengaruhi jiwanya, sementara hatinya sudah cenderung pada akhlaq yang mulia, inysaAllah ia akan lebih mudah menerima kebenaran dan menghiasi diri dengan kebajikan. Kata Rasulullah s.a.w., “manusia itu seperti logam. Kalau di zaman jahiliyyahnya emas, sewaktu islam pun emas juga”.

…sesungguhnya, para sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum adalah orang yang paling tinggi derajat takwanya….sekalipun ilmu mereka tidak sama….di antara para sahabat, ada juga ilmunya yang tidak terlalu tinggi kerana kesempatan bertemu dengan Nabi sangat sedikit…Andaikan kelayakan untuk menjadi suami diukur dari tingginya ilmu, tentu banyaknya sahabat yang harus membujang. Sebab di masa itu, banyak perempuan yang ilmunya lebih tinggi dikeranakan kesempatan lebih besar untuk mencerap ilmu dari Nabi s.a.w. dan sahabatnya…Demikian pula dakwahnya.

….Seseorang yang masih kurang berpengatahuan, tetapi memiliki kecintaan yang sangat tinggi terhadap ilmu, jauh lebih utama daripada yang memenuhi otaknya dengan ilmu yang tinggi, tetapi hati mereka kosong. Semangat mereka melayang entah kemana.

…pada kesempatan ini, saya hanya ingin menekankan agar kita tidak berlebihan dalam bersikap. Harapan untuk dapat menegakkan dakwah bersama suami atau isteri, janganlah menyebabkan kita merendahkan sunnah Nabi s.a.w. tanpa kita sedari. Di antara hal-hal itu adalah harapan untuk mendapatkan pendamping yang benar-benar memiliki kesempurnaan; ia mulia akhlaknya, tinggi ilmunya, elok rupanya, kuat fizikalnya dan sebagainya…

…ketika manusia yang mencapai kesempurnaan hampir tak dapat kita temukan, kita perlu meluaskan jiwa agar tidak meninggikan harapan. Sebaliknya, kita perlu menguatkan komitmen untuk saling memperbaiki, saling menolong dalam meningkatkan ketaqwaan kepada-Nya. Sungguh amat berbeza antara komitmen dan harapan. Komitmen mendorong untuk lebih mampu menerima keadaan, sekaligus memperbaikinya. Adapun harapan membuat kita peka terhadap kekurangan.

…Sebaik apa pun suami anda, bila ia selalu anda bandingkan dengan harapan sebelum nikah dan sesudah nikah, ia tidak akan pernah mencapai keutamaan sedikitpun. Selalu ada sahaja yang membuatkan kita mengeluh dan kecewa…kerana dia tidak memiliki keutamaan dan kesempurnaan. Bisa jadi orang lain memandangnya dengan iri sambil diam-diam berdoa agar mendapatkan suami atau isteri seperti dia….

…Saya hanya ingin mengajak anda untuk melihat bahawa semua itu berawal dari tuntutan kita—meski kita tidak merasa kita menuntut—agar pasangan kita sempurna. Tuntutan inilah yang membuat kita kurang mampu merasakan kebaikan meskipun ia sangat baik…Sementara itu, penerimaan yang tulus disertai dengan komitmen yang kuat, akan melahirkan kehendak untuk memperbaiki. Wallahu a’lam bishawab.[ii]

Sekadar perkongsian. Saya belum melalui waktu itu. Jika ditanya pengalaman, saya masih nol. Tapi tidak salah untuk berdiskusi dan menelaah. Biar perlahan-lahan siap dengan komitmen dan tidak asyik dengan harapan. Namun satu perkara yang dapat saya garap dari tulisan Fauzil Adhim ini, ia bukan sekadar ceritera emosi dan manajemen rumahtangga, tapi juga menjadi ilmu buat menghadapi manusia dan kehidupan umumnya. Tidak semua adalah terlalu awal untuk diketahui.

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki- laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). bagi mereka ampunan dan rezki yang mulia (surga).

An-Nuur: 26

Moga-moga kita di kalangan mereka yang baik, dan terus berusaha menjadi di kalangan mereka yang baik.

Wallahu a’lam bishawab.



[i] Agar Cinta Bersemi Indah, topik Seakan Kulihat Aisyah, pg 108 – 111

[ii] Agar Cinta Bersemi Indah, topik Menemukan Pasangan yang Sempurna, pg 96 - 108

Thursday, November 8

Bukan masa, tapi kita.

Kebangkitan Eropah Jahiliyah, Kerja Keras dalam Ilmu Pengetahuan Alam dan Industri

Abad ke 16 dan abad ke 17 Masihi, merupakan fasa terpenting dalam sejarah umat manusia di masa hadapan. Eropah telah bangkit dari tidur panjangnya, meloncat dari pembaringan untuk bergegas mengejar menebus masa-masa kelalaian dan kebodohan yang berlangsung selama berabad-abad. Eropah berlari kencang dari ketertinggalan, bahkan sekali waktu terbang, menundukkan segenap potensi alam semesta dan menyingkap misteri bumi dan langit, menyusuri dalamnya lautan, daratan dan benua-benua yang tersembunyi, merumuskan ilmu-ilmu baru, pengetahuan umum dan seni yang meliputi pelbagai aspek kehidupan. Pada period sejarah yang relatif singkat ini, lahirlah sejumlah ilmuan semisal Copernicus, Bruneo, Galileo, Kepler, Newton dan ilmuan lainnya berhasil menghapuskan sistem klasik dan membangunkan paradigma moden dan menemukan dunia-dunia baru dalam ilmu pengatahuan. Ada pula kalangan ilmuan penjelajah seperti Columbus, Vasco da Gama dan Magline. Pada period ini, sejarah umat manusia sedang mengalami masa transisi. Ada bangsa yang bintangnya terang benderang, dan ada pula yang bintangnya mula meredup dan yang dahulu redup kini terang-benderang, sedang yang dahulu bersinar, kini mulai termaram. Masa peralihan ini membuat sekelompok bangsa yang merasakan betapa berharganya waktu, satu jam bagai sehari, satu hari laksana satu bulan. Dalam pengertian bahawa orang yang menyiakan satu jam sahaja dalam sehari, sama dengan menyia-nyiakan waktu satu tahun.

Keterbelakangan Umat Islam di Pelbagai Aspek Kehidupan

Akan halnya umat Islam, mereka tidak saja menyia-nyiakan beberapa jam atau beberapa hari, akan tetapi hakikatnya mereka telah menyiakan masa berabad-abad dan beberapa generasi. Sementara bangsa Eropah memanfaatkan dengan maksimal setiap detik dan setiap minit dari waktu yang mereka lalui. Bangsa Eropah bekerja keras melakukan pembangunan di setiap aspek kehidupan. Jarak yang semestinya ditempuh selama satu abad dapat mereka capai dalam satu tahun. Hal yang sekiranya dapat menggambarkan kadar kelesuan bangsa Turki muslim di lapangan ilmu pengetahuan dan teknologi adalah berkenaan dengan bidang industri pembuatan kapal laut. Teknologi perkapalan baru masuk ke Turki pada abad ke 16 Masihi, teknologi percetakan dan sistem pelayanan kesihatan baru dikenal pada abad ke 18 Masihi, demikian pula sekolah-sekolah khusus ketenteraan bergaya Eropah. Sampai-sampai, ketika orang-orang Turki menyaksikan belon besar melintas di atas ibu kota Turki, orang menyangkanya sebagai ilmu sihir. Bangsa Eropah yang kecil itu telah mendahului Turki dalam menciptakan pilar-pilar kebangkitan peradaban dan kesejahteraan dunia. Turki pun tertinggal jauh oleh Mesir dalam industri keretapi dan pos.

Dipetik dari Derita Dunia Akibat Kemunduran Umat Islam, Sayyid Abul Hasan Ali Nadwi, cetakan Mei 2006, terbitan Fadlindo Publishing. muka surat 152-154.

Sesungguhnya Allah mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. [Ar-Raad: 11]

Selalu kita mendengar ayat di atas, seringkali juga kita jadikan ia hujah agar mereka yang mendengarnya turut berubah. Namun berapa kali kita muhasabah diri kita dan bermujahadah untuk melaksanakan perubahan itu? We must become the change we want to see, Ghandi said it way after Allah revealed the holy ayat above to our Prophet Muhammad s.a.w. and Muhammad showed us how, the Khulafa' Rasyidin did it as well, the next generation, and the next, they did the same as well. Dan kita masih terpuruk dalam kemelut kemalasan, terumbang-ambing antara laksanakan atau nanti masih ada waktu. Kerajinan, tekad dan usaha yang tak kenal lelah merupakan paradigma yang telah lama kusut dalam kecilnya sikap kita menanggapi isu dan tuntutan. Langkah derap seringkali tak acuh, biarkan umat berusaha, aku kan nyusul nanti. Hah, matilah kau dengan sikap kau yang lembik ! Tunggu lagi dalam bilik kau, harapkan islah dengan usaha orang lain, mimpi hidup dalam indahnya khilafah, tapi melangkah ke rumah mad'u, melangkah ke surau, masjid pun nak fikir.

Masa itu agen perubah kerana kita mengambil langkah yang proaktif untuk mengubah. Tapi masa itu juga boleh jadi agen perosak andai kita menjadi pasif dan kedu dalam langkah menganjak paradigma kita. Terpulanglah.

Wallahu'alam.

-ujian menimpa, tak perlu gusar kerana Allah sentiasa bersama kita-