Friday, March 9

Selepas aku membaca...

Ucapan hamdalah dan takbir didahului, membesarkan dan mengagungkan kebesaran Allah s.w.t. yang dengan limpah dan kurnia-Nya, hati-hati ini masih teguh mencapai redha-Nya; insyaAllah. Sebanyak-banyak selawat disampaikan kepada junjungan besar Rasulullah s.a.w. yang menurunkan kepada kita amanah dakwah dan risalah islam. Serta yang menyampaikan dengan penuh tekad dan kesungguhan kalam Allah dan perintah-Nya kepada sekalian manusia sepanjang hayat baginda sehingga meniti di jiwa-jiwa segenap manusia sekarang.

Tiga hari, bahkan kurang telah aku hayati, amati dan fahami novel yang menggemparkan dunia sastera islam kurun ini. Karya Habiburahman El-Shirazy ini sememangnya merupakan novel yang menghidupkan kembali sorotan cinta suci yang dibawakan islam. Bahkan mengetengahkan pula kehidupan seorang mu’min dalam menghadapi rona kehidupan masyarakat yang semakin pudar dari coretan warna keindahan islam. Tidak dinafikan, Ayat-ayat Cinta mampu menyentuh hati nurani yang pudar dari kasih sayang dan dari sensitiviti kehidupan bermasyarakat. Terlalu banyak aspek yang ia sentuh, dari keagamaan yang menjadi asas utama penulisannya, kepada gejala rasuah dan fitnah yang membelenggu sistem sosial masyarakat umumnya.

Kisah Fahri yang akhirnya bersama Aisha, memang menjadikan hati-hati yang merindui cinta suci kerana Allah, yang menanti-nanti kasih sayang yang segar dan bersih dari hawa nafsu; terngiang-ngiang dengan panggilan hubungan ikhlas dan bersih seumpama fiksyennya(Fahri) itu. Mu’min yang senantiasa menjaga keterikatannya dengan Allah dan yang menuruti sirah dan sunnah Nabi s.a.w. akan luluh di dalam sketsa kehidupan Fahri itu. Sungguh perwatakan yang dibawakan oleh Habiburahman El-Shirazy ini, baik Fahri mahupun setiap yang lainnya, menggambarkan satu suasana ideal,tetapi riil.

Namun menjadi satu kerugian buat para pembaca yang menangkap tauladan-tauladan serta nasihat dari penghidupan karakter dan jalan ceritanya hanya pada kisah cinta antara kaum adam dan hawa yang dilampirkan pada plot novel tersebut. Memang jelas pada pembentangan kisahnya, apatah lagi, ia diisi pada akhir novel yang seolah-olah wajib bagi psikologi manusia biasa, ia kan menjadi bahagian yang paling diingat. Sebab itu, sebuah penulisan yang berakhir tanpa gemerlapan kisah atau plot yang mampu mengikat hati, akan terus menjadikannya suatu bahan yang lemah.

Novel tersebut yang kini menjadi bahan bacaan terhangat, baik di kalangan remaja mahupun ‘lanjut remaja’, mengemban puluhan etika dan adab serta tauladan bagi seorang muslim mahupun muslimah. Apatah lagi bagi seorang lelaki, jalan hidup Fahri sememangnya merupakan cerminan dari idealism islam yang tidak dapat tidak merupakan satu aset yang riil dan sememangnya nyata. Bahkan bukan wataknya sahaja yang harus diberi perhatian, tetapi juga bahan-bahan yang diutarakan kepada mata yang melirih setiap baris kata yang diungkapkan. Menjadi tidak adil bagi pembaca menilai novel tersebut dari aspek cinta antara seorang adam dan hawa yang berlandaskan syariat islam, sedangkan garapan Habiburahman El-Shirazy di dalam novel tersebut mengenengahkan sebuah kehidupan yang merangkup keseluruhannya.

Sejak dari muka pertama novel tersebut, penulis telah berjaya melekatkan fikiran para pembaca untuk menghayati kehidupan Fahri, seolah-olah adanya hatif dari lembaran menyanyikan irama kehidupan yang mencuri perhatian. Mungkin juga itulah yang menjadi pendorong untuk segera menghabiskan novel tersebut agar terlepas dari ikatan tarikan-tarikannya.

Dimulai dengan suasana Mesir yang teliti dan hidup dicelah ayat-ayatnya, penulis membawakan pengorbanan seorang thulabi dalam menuntut ilmu. Menengadahkan pemikiran pembaca kepada kepayahan jenis apa yang dilalui Fahri dan motivasi dasar apa yang membuatnya sanggup berdepan kepayahan tersebut. Di awalnya juga penulis menyisipkan pengenalan tentang apa yang akan diketemukan di lembaran lanjutan; yakni wujudnya watak perempuan yang boleh jadi merupakan tiang seri novel tersebut. Berterusan dituruti pula dengan kondisi watak utama yang menjadi ketua rumah, membuatkan pembaca mulai berfikir dan barangkali introspektif terhadap diri sendiri dalam memikul tanggungjawab.

Perut novel ini sememangnya tidak kosong dari jamuan muhasabah buat pembaca melalui perwatakan karakter berempat teman Fahri yang wujud di dalam novel ini. Kasih sayang dan hormat-menghormati yang mekar di antara mereka mampu menjentik hati pembaca akan keakraban diri masing-masing dengan rakan taulan. Dibentangkan konsep ukhwah yang praktikal dan hidup melalui rentas kehidupan Fahri dan rakan-rakannya itu. Semangat kejiranan yang ditegaskan Rasulullah dalam hadis baginda ”barangsiapa yang mencintai Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetangganya” ditebar luas oleh sang penulis melalui perhubungan dengan keluarga bukan islam, bahkan adabnya juga diterangkan dengan baik olehnya.

Sepanjang perjalanan novel ini, pembaca sewajarnya menemukan dengan pelbagai hukum islam, terutamanya bab muamalat yakni interaksi di dalam kehidupan. Namun yang menjadi mesej utama, merupakan keterikatan seorang hamba Allah dengan Penciptanya seolah-olah benang sutera yang kuat tidakkan terputus. Hubungannya halus namun tidak pernah renggang. Kecil tetapi dirasai padatnya jisim kehangatannya. Betapa penulis memahukan pembaca merasai kehadiran Allah sepanjang pengembaran novel ini, agar setelahnya menghasilkan sutera ikatan pula buat pembaca. Kemahiran penulis menceritakan tentang malu kepada Allah juga sedikit-sebanyak mampu membuatkan pembaca merenung dan menyedari betapa jauhnya kita dari rasa malu. Dibawakan juga tentang ketegasan watak Fahri dalam menjaga hubungannya dengan perempuan bukan mahram sehinggalah ke situasi kritikal Maria juga, penulis menghamburkan pendiriannya yang tegas untuk terus di batasi perhubungan antara adam dan hawa.

Selain itu, tidak dibawa jauh penghayatan pembaca akan ketekunan Fahri dan watak-watak yang ada di dalam novel tersebut dalam menuntut ilmu. Rata-rata, menjadikan usaha menuntut ilmu sebagai penghias kehidupan dan aset dalam menghadapi masa depan. Bahkan juga dilengkapi, dengan perjalanan kehidupan sebagai seorang pelajar, perancangan masa hadapan melalui Fahri dan Aisha yang menyusun dan menggariskan matlamat-matlamat dalam kehidupan meskipun tidak tentu akan melaluinya. Ambisi watak-watak yang dibawakan juga menyedarkan pembaca kepada ketersusunan hidup dan agar mempunyai tujuan yang jelas serta riil. Bahkan novel ini juga menimbulkan kecurigaan pembaca dalam memperkenalkan tokoh-tokoh islam yang tidak menjadi watak utama dalam pemikiran masyarakat kini seperti Bediuzaman Syed Nursi, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim dan sebagainya. Malahan diselitkan juga dengan baik puisi-puisi dan bait-bait syair yang sesuai dengan cuaca novel tersebut.

Dari perhubungan yang menepati hukum-hukum Allah antara adam dan hawa serta muslim dan bukan muslim, diketengahkan juga pautan dan kerinduan watak-wataknya kepada solat tahajjud, sujud syukur, zikir membesarkan Allah dan kesungguhan menjaga ibadah fardhu yang lain. Malahan dibawakan juga eksplorasi sirah umat islam melalui dialog Fahri dan Ibnu Masud dalam komanya serta pengahayatan hadis Nabi s.a.w tentang syurga dan pintu-pintunya melalui Maria. Sedikit sebanyak juga dibawakan kehidupan suami isteri yang selaras dengan apa yang dipaparkan sunnah Nabi s.a.w., dari nikah ke malam zafaf serta akhlak dan adab suami dan isteri dalam rumahtangga.

Tidak disangkal lagi, sememangnya novel Ayat-ayat Cinta hasil keringat Habiburahman El-Shirazy ini lengkap dan sarat dengan tema-tema kehidupan sebagai seorang muslim. Gaya bahasanya yang mudah dan tidak berat juga memberikan peluang kepada pembaca baru untuk meminati hasil kerjanya ini. Adalah tidak wajar untuk merasakan artikel ini mampu untuk menelaah segala yang dibawakan oleh Habiburahman di dalam novelnya dan seharusnya meletakkan minat untuk menelusuri liku-liku kehidupan Fahri, Maria, Aisha dan watak-watak yang hadir di dalam novel tersebut. Wallahu’alam.

No comments: