Monday, February 25

Dakwah 5 minit. Tahu atau tidak?

Kebelakangan ini, kecenderungan aku untuk menggiatkan diri dengan manusia meningkat. Banyak yang ingin dilakukan, sehingga sekerap detik yang berlalu, sekerap itu juga aku terfikir tentang orang-orang yang boleh aku ketemu, apatah lagi dengan mereka yang patut aku ketemu. Dakwah fardhiah, itulah antara metode dakwah yang paling besar ruangnya, namun pelaksanaannya bukan calang-calang. Ramai orang yang pernah mendengar tentang dakwah fardhiah, namun tak ramai pula yang sanggup untuk komited dengan usaha ini selagi masih ada peluang. Metode inilah yang banyak menceritakan kisah-kisah indah interaksi manusia dengan manusia. Kisah-kisah perkenalan yang menggamit hati, yang menyentuh jiwa, akhirnya memberi kesan yang besar. Namun tak sedikit pula yang tidak pernah tahu tentang dakwah fardhiah ini. Dakwah fardhiah ringkasnya adalah usaha dakwah yang memerlukan interaksi secara individu dalam usaha untuk menyeru manusia kepada islam. Tidak terhenti sekadar interaksi, berlanjutan kepada pengawasan terhadap perkembangan mereka yang didakwahi dalam amal islami mereka, atau perubahan-perubahan pada akhlak mereka dengan matlamat memastikan ada kebaikan yang menyerap ke dalam mereka, lantas dilaksanakan, tidak sekadar bersetuju sahaja.
Namun satu perkara yang kadangkala menyelubungi pelaksana dakwah fardhiah adalah kegagalan mencari peluang seluas mungkin dalam mencari sasaran dakwah. Kerapkali usahanya terbatas kerana kegagalan mengenal pasti mereka yang benar-benar berpotensi dalam menerima dakwahnya. Di satu aspek lain pula adalah kegagalan mengenal pasti potensi sasaran dakwah itu. Di pintu mana hendak dimasuki, bahagian mana padanya yang hendak diutamakan, apakah kebaikan pertama yang perlu diserapkan padanya...dan sebagainya. Kemampuan untuk membuka pintu potensi terhebat sasaran dakwah adalah kunci kepada kemudahan melaksanakan dakwah anda. Jadi bagaimanakah caranya?
Seawal perjalanan melaksanakan dakwah fardhiah, seharusnya kita mengenali dahulu tingkatan-tingkatan dakwah fardhiah. Memahami dan menyedari tabi'inya jalan ini adalah penting untuk kita tidak terburu-buru dalam menyeru manusia kepada islam. Seandainya ini berlaku, boleh jadi anda akan ditolak dan anda mungkin melalui waktu paling mengecewakan.
Pertamanya; hendaklah anda berta'aruf dengan sasaran dakwah anda dengan sebaik mungkin. Hendaklah anda mengenali salasilah keluarganya yang ringkas dan butir-butir keluarganya. Ajukan sahaja soalan-soalan untuk anda kenali lebih dalam, dan jangan lupa untuk ceritakan juga bahagian anda agar mereka merasa selesa dengan perkongsian itu. Di waktu ini, amat baik untuk anda memaparkan rasa ambil berat anda, jika anda tidak bersama mereka, jangan segan untuk menghantarkan SMS bertanya khabar atau berisi hadis, ayat-ayat Quran atau kata-kata hikmah. Jika anda menyedari keperluan-keperluan mereka yang tidak lagi mereka punyai, segerakan langkah untuk menyiapkannya. Namun satu pesan yang tidak keterlaluan, jadikanlah ia nampak bersahaja. Jangan terburu-buru melakukan 'kebaikan' sehingga dia naik jemu dengan anda. Di waktu ini, perlu bijak menggunakan suatu perasaan manusia yang amat kuat, iaitu rindu. Selangkan pertemuan anda dengannya, namun isikan setiap pertemuan dengan perkara-perkara yang bermanfaat dalam membina hubungan anda dengannya. Jangan datang ziarah, tapi duduk di tepinya menonton TV bersama tanpa ada interaksi dengannya. Atau hanya singgah untuk mengulangkaji pelajaran. Jika sudah terlanjur, jangan lupa untuk mengajaknya keluar ke kedai sebentar, atau makan bersama. Makan pun, tak semestinya makan yang berat-berat, tapi makanan yang ringan-ringan seperti kacang bakar dengan air soya, atau jeruk buah dengan teh O panas, takpun yoghurt dicampur buah dalam tin. Hanya sekali dua dengan menu-menu istimewa, yang lainnya, ikutlah bajet tahunan anda. Ini baru langkah untuk berkenalan. Pastikan mereka mengenali anda kerana peribadi anda, bukan sebab makanan-makanan yang enak sahaja.
Seterusnya adalah untuk menerapkan iman dan menyerunya untuk melaksanakan amal islami sedikit demi sedikit. Sebelum anda melangkah ke tahap ini, siapkanlah diri anda dengan ilmu tentang perkara asas dalam ibadah harian, sifat-sifat islami dan banyakkan membaca buku Riyadhus Salihin. Jika dia sudah terbiasa dengan anda, maka biasakan pula mereka dengan amalan-amalan ringkas yang mudah diamalkannya. Dengan syarat, anda pun sudah terbiasa dengannya(amalan-amalan ringkas). Di sini anda akan mula bermain tarik tali dengannya. Ada perkara yang perlu berlembut, ada perkara memerlukan anda bersikeras(bersikap keras). Jelasnya, anda perlu tahu pada apa yang dikeraskan, pada apa yang ditolak ansurkan. Pada perkara prinsip dan asas, hendaklah anda teguh dan tegas seperti Tuhan adalah Allah semata, solat 5 waktu adalah wajib, puasa adalah wajib, aurat tetap aurat, dosa dan pahala ada, dan etc. Pada yang boleh ditolak ansur, tarik-tariklah dengan dia. Seperti makan tak baca doa, takbir tak angkat sungguh-sungguh, wudhu' tak kemas, solat di masjid liat-liat, makan lebih-lebih dan seumpamanya. Sebab itu perlu disiap dengan ilmu. Siap siaga. Dan satu perkara penting di sini, benar-benarlah berpegang dengan islam, dan berbanggalah dalam melaksanakannya, 'izzah bukan menunjuk-nunjuk. Islah nafsah, wad'u ghairah.
Tapi mengapa ditajukkan dakwah 5 minit. Tahu atau tidak? Sebab tak semestinya kamu mengambil masa sehingga berjam-jam untuk meyakinkannya bahawa kamu seorang sahabat. Adakalanya hanya 5 minit sudah cukup untuk kita mengikat dia dengan kita. Barangkali 5 minit kita melaksanakan sesuatu sedang dia melihatnya sudah cukup untuk dia beramal dengannya. Kebiasaannya hujah lebih melelahkan dari qudwah. Jadi biasakan diri dengan akhlak yang baik. Kerana 5 minit anda beramal barangkali diterima ALlah dari berjam-jam berhujah dan berkata kerana boleh jadi anda terlepas kata dan mendapat murka ALlah. Bukan begitu? Tak selalunya begitu juga, deh !
Apa yang saya lontarkan adalah berdasarkan pengalaman-pengalaman saya. Mungkin anda yang sudah lebih banyak pengalaman boleh dikongsikan di sini. Atau diskusikan di sini setelah anda mendaftar di sini. Lawatilah web ini.

Wallahu'alam bishawab.

Saturday, February 16

Buat Puteriku Solehah (III)

Wahai cahaya mata Ummat,

Harapan kaum adam terhadapmu menggunung tinggi. Pastinya dari fitrah setiap adam yang waras, mereka menginginkan wanita-wanita yang mampu memimpin keluarga, yang mampu membentuk generasi agar zuriat yang lahir adalah yang terbaik. Mampu juga berganding bahu mentadbir alam ini kerana kita saling lengkap-melengkapi. Namun, kesediaan puteriku sekalian menjadi wanita yang mampu memimpin generasi amatlah bergantung kepada kesibukan kamu yang sebenarnya. Kiranya kalian tergolong yang sibuk dengan urusan puteri-puteri yang aku maksudkan tadi, maka jauhlah impian dari kenyataan.

Sesungguhnya kesibukan asasi seorang puteri yang ummat idamkan adalah seperti yang terpapar pada sirah ummat ini sendiri. Ummat ini mengharapkan kalian berusaha mencetak semula contoh generasi terdahulu ke dalam diri kalian, lantas ke dalam masyarakat.
Inginku bertanya pada kalian puteriku solehah, apakah kesibukan kalian pada agama Allah ini yang paling utama? Apakah kesibukan kamu mentahbiskan diri kepada Allah dan agama-Nya serta menunaikan kewajipan untuk menegakkan agama ini? Sepertinya kesibukan Asma’ dan Nusaibah yang berjuang demi agamanya, berkorban membantu Nabi s.a.w sewaktu hijrah dan sewaktu perang Uhud? Mereka siap siaga meletakkan jiwa mereka di hujung pedang demi melindungi Nabi s.a.w. yang tercinta. Berusaha semampu mereka untuk memastikan da’wah islam ini tidak pernah berhenti. Meninggalkan keseronokan gadis-gadis lain demi mengejar syurga Allah s.w.t. Subhanallah ! Apakah puteri-puteriku siap untuk ini?

Wahai serikandi ummat,

Apakah kesibukan sebanar kamu pada mempersiapkan akal fikiran kamu dengan meletakkan makrifah Allah sebagai induk pada akal kamu? Dengannya kamu mendirikan ilmu lain di atas fondasi itu dan terlindunglah kamu dari kebatilan ilmu hawa nafsu manusia. Adakah kesibukan kamu seperti kesibukan para wanita salafus shalih yang sibuk menghafal Sahih Bukhari atau Sahih Muslim, meriwayatkan hadith dan mengikuti majlis ilmu, sehingga salah seorang di antara ulama kita ada yang berkata, “ Seorang muslimah yang solehah, Fulanah binti Fulan, berkata kepadaku begini…?! “

Apakah pula kesibukan kamu seperti Aisyah dan Fatimah al-Khattab yang memahami hukum-hukum Allah dan waqi’ yang didiami mereka sehingga mampu hidup selari dengan realiti dan sebati dengan islam? Persiapkanlah diri kamu dengan agama Allah, dan persiapkanlah juga diri kamu dengan suasana masyarakat agar kalian mampu membimbing mereka dengan berhikmah.

Wahai puteriku solehah…

Sekali lagi aku bertanya, apakah kesibukan kalian seperti kesibukan perempuan salafus salih untuk senantiasa menjalankan yang halal dan menjauhi yang haram dalam keluarga sehingga seorang perempuan berkata kepada suaminya yang hendak keluar, “ Wahai Fulan, waspadailah olehmu jangan sampai mencari nafkah dengan cara yang haram. Sesungguhnya kami masih sanggup menahan siksa lapar dan dahaga, tetapi kami tidak sanggup meanggung adzab neraka dan murka Yang Maha Perkasa?! “. Siaplah kalian untuk melindungi rumah tangga dengan permulaan yang baik atas dasar taqwa. Janganlah kalian tersilap dengan mendirikan rumah tangga kerana adat, kehendak nafsu atau kerana nilai masyarakat di sekitar kalian. Puteriku solehah, hendaklah kamu memainkan peranan untuk menghidupkan roh yang diredhai Allah; memastikan keadaan keluarga yang sederhana, qanaah, bisaatah dan jauh dari menunjuk dan membazir. Kerana dengan semua itu, jauhlah keluarga kalian daripada kebaikan.

Apakah kesibukan kalian dalam masyarakat pula wahai puteriku solehah? Apakah pernah kalian terfikir seperti Shafiyah Binti Abdul Muthalib yang melindungi muslimah dan anak-anak muslim ketika perang Khandaq? Dia nyata tidak hanya duduk diam saat musuh ingin mengambil peluang di saat genting itu. Apakah sekarang kita bukan di saat genting, dengan musuh-musuh Allah bersekutu menerkam kita dari sgenap arah?! Apakah kesibukan kalian seperti Zainab Ghazali dan Hamidah Qutb yang berjuang demi menyampaikan da’wah sehingga tirani menangkap dan memenjarakan mereka, lantas di siksa lebih teruk dari kaum adam?! Allahuakbar ! Mereka menjadi sosok dan membentuk pula peribadi tauladan yang dapat dilihat di mana-mana. Sekarang tegarkah kalian untuk hanya duduk dan menikmati jamuan ringan dunia?

Buat puteriku solehah,

Tidaklah hati ini merasa tenteram melihat rakan-rakan kalian, saudara-saudara perempuan kalian, adik-adik kalian dan segenap pemudi islam dan bukan islam ditindas dan ditekan sehingga mereka terperosok dalam lembah kehinaan dunia. Tidak mampu untuk aku simpulkan luahan fikiran dan perasaan ku ini melainkan untuk kalian simpulkannya dengan usaha kalian menjadi muslimah sejati. Bangkitlah menyahut seruan Ilahi agar kamu bersama kaum adam yang lainnya menjadi umat yang menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar. Dengarlah firman Allah s.w.t;

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.

Ali-Imran: 104

Thursday, February 14

Buat Puteri Solehah (II)

Puteriku solehah,

Aku ingin sekali bertanya kepada hati-hati kalian, apakah yang kalian inginkan sekarang? Apakah yang jiwa lembut kalian harapkan dari kehidupan ini? Setulus hati halus, puteriku, soalkanlah pada diri kalian, apakah yang benar-benar kamu citakan?

Sekarang aku menyeru pula, bayangkanlah apa yang kenalan kalian mahukan? Apakah yang tergambar dari bibit hidup mereka yang kamu kenali? Sesungguhnya apa yang aku lihat adalah sesuatu yang menyayat hatiku. Apa yang aku pandang dari sekejap waktuku terhadap golongan puteri islam jauh dari impian yang aku impikan. Aku memerhatikan mereka sibuk dengan majalah dan terbitan-terbitan yang demi Allah, jauh dari keluhuran fitrah manusia apatah lagi dari ketetapan Allah. Aku sedih melihat mereka yang merelakan diri mereka menghadapi penyeksaan jiwa dan jasad. Sekerap keluaran majalah-majalah itu, sekerap itu pulalah mereka menyeksa diri mereka untuk merubah jatidiri sehingga hilang erti keteguhan pendirian pada diri mereka. Akhirnya mereka terjelepuk dalam kebodohan diri sendiri, terperangkap dalam sarang kapitalis. Sungguh benarlah sabda Rasulullah s.a.w.

Sungguh kalian akan mengikuti sunnah (cara dan tradisi) orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, dan sehasta demi sehasta. Sampai-sampai, andaikata mereka masuk ke lubang biawak sekalipun kalian masih mengikuti mereka…

Hadis Dari Abu Sa’id al-Khudri, Muttafaq Alaih.

Inilah gambaran seksaan yang mereka hadapi. Lubang biawak yang menggambarkan bau menyengat, kegelapan dan kesempitan. Apakah puteri-puteri sekalian tidak bersedih hati dengan keadaan mereka ini? Apakah kalian senang hati melihat mereka diperalat sebegitu?
Apakah kesibukan remaja kita sebenarnya saat ini wahai puteriku?!

Jujurlah dengan mereka bahawa kalian memerhatikan mereka berdendang dengan lagu-lagu yang hanya membawa tema-tema berlandaskan kelemahan jiwa tunduk kepada nafsu. Rasa cinta yang digembar-gemburkan, diadun dalam prosa-prosa bunga dan madu hanyalah khayalan yang menerjah pintu taqwa mereka, menerajang kewarasan dan fitrah mereka jauh dari jiwa. Wahai puteriku, tidakkah kamu melihat bahawa hal ini semakin lama semakin rumit? Musuh-musuh islam berusaha mengumumkan dan membentuk suatu kaedah dalam kehidupan berperasaan dan beremosi, sehingga hampir-hampir syariat Allah menjadi permainan?! Allahuakbar!

Wahai puteriku? Duduk sajakah kita membiar pengumuman itu berlaku hingga usaha islah dan da’wah kepada aqidah yang benar menjadi rumit dan tegar? Apakah jiwa-jiwa sensitif kamu sudah menjadi keras dek belenggu masyarakat hedonis ini? Puteriku, engkaulah harapan buat mereka. Engkaulah harapan bagi ummat ini. Jangan sekali kalian berpaling dari hakikat ini. Sekali-kali jangan !

Puteriku solehah,

Apakah yang menjadi kesibukan sebenar puteri-puteri kita? Tidak pernah aku melihat kegusaran yang dihadapi ibu bapa sekarang akibat puteri-puteri mereka yang terikat dengan sinetron dan rancangan realiti yang terlalu banyak. Tidakkah kalian semua melihat mereka terbantut dari pertumbuhan pemikirannya, ilmu pengetahuannya, jatidirinya? Apatah lagi jika disukat rasa simpatinya pada masyarakat dan ummat yang semakin mati ini. Bisa sahaja air mata mengalir kerana geram dan sedihnya melihat mereka memperlakukan diri mereka sebegitu, membiarkan generasi mendatang…Puteriku, hendaklah kalian teguh dalam islam dan tuntutannya, ingatlah bahawa kalian adalah pencetak generasi, penggerak umat. Tugas kalian yang terutama adalah ini. Maka bersiaplah untuk bergandingan dengan kaum adam demi menjadi khalifah yang mentadbir bumi dengan syariat Allah s.w.t.

Apakah dalam diri puteri-puteriku solehah sama seperti apa yang aku lihat? Apakah harapan kaum adam yang inginkan agama Allah ini tertegak dengan kalian sebagai pembentuk generasi hanyalah angan-angan? Ataukah kalian punya jatidiri yang berbeza? Ya Allah, teguhkanlah puteri-puteri solehah ini dalam iman dan islam. Dan kurniakanlah mereka kekuatan untuk teguh membawa da’wah islam ya Allah.

bersambung…

Wednesday, February 13

Buat Puteri Solehah



Tidaklah akan bergeser kaki seseorang hamba di Hari Kiamat kelak sampai ia ditanya empat hal; tentang usianya untuk apa dihabiskan, tentang masa mudanya untuk apa dipergunakan, tentang harta dari mana di dapat dan untuk apa dinafkahkan dan tentang ilmu untuk apa diamalkan.


Dari Muadz bin Jabbal; Riwayat Al-Baihaqi


Saudariku muslimah…


Selalu sudah hadith di atas hinggap di telinga kita, sehingga mampu bibir berkumat kamit menutur saat ia dibacakan. Namun seringkali kita meletakkan tentang masa mudanya untuk apa dipergunakan hanya pada pemuda lelaki, melupakan sang hawa yang tidak dapat tidak seutama lelaki juga. Sekali kali kita tidak boleh meremehkan hal sang puteri, kerana pembicaraan soal awal hidup sang hawa ini adalah pembicaraan nilai insani generasi akan dating. Sungguh masyarakat tidak akan baik tanpa wanita-wanita yang baik kerana mereka adalah pembentuk generasi.

“Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki atau perempuan, (karena) sebagian kamu adalah turunan dari sebagian yang lain”

Ali-Imran: 195

Sebagaimana lelaki berasal dari lelaki dan perempuan, maka demikian pula halnya perempuan berasal dari lelaki dan perempuan. Keduanya sama-sama manusia, tak ada kelebihan yang satu dari yang lain tentang penilaian iman dan amalnya. Justeru itu, masing-masing di antara mereka saling melengkapi satu sama lain.

Namun, pemandangan yang kita lihat kini tidak langsung menggambarkan perhubungan yang sebaiknya berlaku melainkan pada segelintir umat ini. Secara terjurus, wanita diterima menjadi suatu sumber perdagangan yang diterima masyarakat. Daya tarikan wanita dieksploitasi oleh golongan kapitalis tanpa had, digunapakai untuk memasarkan produk mereka. Namun secara halusnya, ia menjamah pemikiran waras masyarakat sedikit demi sedikit menjadikan kita masyarakat jahil. Tidak berhenti setakat di papan iklan, ke mana sahaja kita pergi, wanita menjadi subjek utama, bukan dalam aspek peningkatan jiwa dan nilai, tetapi pada keuntungan duniawi. Rancangan televisyen hampir sahaja 100% menggunakan wanita dalam menarik perhatian penonton. Tidakkah saudari tersentuh dengan keadaan yang menimpa golongan itu?

Perlu jelas bahawa kejelekan yang timbul bukan hanya kerana eksploitasi yang dihadapi golongan wanita yang rata-ratanya adalah puteri-puteri di awal 20-an. Ia juga menyangkut kebiadaban masyarakat dalam menghadapi hukum-hukum dan syariat yang telah Allah tetapkan. Kerana isu utama adalah isu aqidah yang menjadi dasar pada seseorang muslim. Semakin hari semakin jauh dan semakin remeh masyarakat melihat keutamaan syariat Allah. Selebihnya tidak meletakkan dengan benar nilai syahadah yang dilafaz.

Wahai puteri-puteriku,

Perubahan yang menimpa golongan kalian sekarang tidaklah berlaku dalam masa sekejap melainkan ia datang dari usaha yang keras dan kejam oleh musuh-musuh Allah. Mereka berusaha membelenggu kalian dalam lingkaran hawa nafsu dan tuntutan duniawi mereka. Sesungguhnya setiap muslim perlu mengenali jalan yang mereka ambil dalam menjadikan kita seperti ini. Kerana ikatan islam dalam umat itu terungkai satu persatu kerana umat islam tidak tahu akan jahiliyyah. Seharusnya puteri-puteriku menanam jatidiri yang tegas pada perkara usul dan pendirian dalam diri kalian, agar kamu mampu berdiri walau seorang diri dengan panji islam tertegak dijulang tinggi.

Kini di mana-mana saudari melihat kaum hawa berjuang untuk menegakkan hak-hak mereka yang dirampas oleh masyarakat. Mereka terpaksa berjuang dengan jiwa yang meronta-ronta, sedang sokongannya hanya dari segelintir manusia yang waras dan simpati. Perjuangan mereka menuntut penghormatan, kesama rataan , perlindungan dan pelbagai lagi dari masyarakat yang dhaif dari nilai-nilai asasi kemanusiaan. Hendaknya saudari memahami keadaan mereka dan menanam semangat untuk membantu mereka dengan fikrah islam yang saudari miliki. Perjuangan yang mereka tatang adalah suatu cabang dari perjuangan saudari sekelian. Sesungguhnya saudari, jika benar, sedang berjuang menegakkan kalimah laa ilaha illallah sepertimana yang dilakukan oleh puteri-puteri islam terdahulu, syumul dalam aspek yang dijuangkan, tekad dengan taqwa dan keimanan dan berjihad sehabis mampu demi perjuangan ini. Saudari-saudari yang ikhlas meletakkan Allah sebagai matlamat, akan membuka pintu kebebasan yang sebenarnya buat mereka, memberi cahaya kehidupan yang baru kepada mereka dengan iman dan islam yang sahih.

bersambung…

Saturday, February 9

Sekali tidak bermakna sudah memadai

Tahun ini tahun terakhir saya. Dalam sedar, masa berlalu sudah tiga tahun. Dari budak baru ke orang lama di bumi Australia. Dari entah siapa kepada saya. Jujurnya, ramai kawan-kawan terkejut dengan perubahan dan perbezaan yang ada pada saya. Tapi saya perlu peduli apa? Ini hidup saya, dan saya tekad nak masuk syurga. Nak kata apa, ikut lu punya suka. Banyak perkara yang saya belajar, dan salah satunya yang saya terfikir untuk berkongsi hari ini, adalah seperti yang tertera di atas, sekali tidak mungkin sudah memadai.

Saya baru kembali ke bumi Melbourne. Suasana tak banyak berbeza, tapi orang-orangnya mungkin berbeza. Yang datang kembali, mungkin dengan azam dan persepsi yang berbeza. Yang baru datang, macam-macam kerenah mereka. Tapi itu semua membuatkan saya gembira. Apa tidaknya, ini entah kali ke berapa saya dapat mengulang cuba pelbagai perkara. Juga dapat menambah baik segenap usaha. Perasan tak setiap ayat yang anda baca, akhir lafaznya sama? Senyum kalau anda suka. =)

Kali ini saya hanya membawakan pendapat saya. Mungkin benar, mungkin tidak. Tapi bagi saya, ia ada benarnya. Cuba anda kira berapa banyak buku yang telah anda baca? Berapa jenis? Kita kecilkan skop buku bacaan kita. Tolak tepi buku fikrah, tolak semua buku nikah, apalagi entah yang apa-apa entah. Kita ambil kira buku sirah cukup. Kira kembali berapa banyak buku sirah, tentang Nabi Muhammad s.a.w. yang telah kita baca. Mungkin yang lazim, Ar-Raheeq Makhtum, Fiqh Sirah oleh Said Ramadhan al-Buty, Sirah Nabawiyah oleh Mustafa Siba’i, Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam dan apa lagi? Baik, kita ambil Ar- Raheeq Makhtum dan Sirah Nabawiyah Musatafa Siba’i. Berapa kali anda sudah menelaahnya? Saya bukan bertanya, berapa kali anda sudah membacanya? Tapi menelaah. Beza ya kawan-kawan.

Kali pertama saya membaca Ar-Raheeq Makhtum, ia umpama satu kisah yang paling hebat dalam sejarah manusia. Kemudian saya melangkah kepada Sirah Nabawiyah Mustafa Siba’i. (Nampak tak kenapa saya minta pertimbangkan hanya dua buku di atas? =) ) Kemudian saya berhenti membaca sirah sebentar. Masuk pula kepada buku-buku fikrah. Di sini, pemikiran mula berubah. Mula nampak perkaitan antara satu hal dengan yang lain. Mula sedar mengapa Nabi buat begini begitu, mengapa yang lain buat begini begitu pula. Kemudian bila mula menelaah sirah, sesuatu yang berbeza datang. Persoalan ada yang terjawab, dan ada baru yang timbul. Pendangan terhadap isu mula berubah, dan ada yang tertanya.

Sebenarnya, serupa sahaja bagi satu-satu buku sekalipun. Pernah anda baca Risalah Ta’alim? Ceritakan pengalaman anda membacanya buat kali pertama. Meluap bersemangat, konon penuh dada siap siaga. Da’wah ku kendong tapi entah ke mana. Betul? Kemudian pernah anda telaah lagi? Dan lagi? Dan lagi? Cuba anda cari di celahan Risalah Ta’alim, pesanan sang penulis, Tulisan ini bukanlah pelajaran yang perlu dihafal, tetapi ia adalah taklimat yang perlu dilaksanakan. Bukan sekali harung terus habis ikan di lautan. Beribu kali memukat, masih banyak yang berenang di bawah tongkang. Teliti pula karangan Muhammad ‘Abdullah al-Khatib tentang Risalah Ta’alim, Apa yang dikehendaki agar para ikhwah terus meneliti risalah ini berulang kali, mengkajinya dan melaksanakan segala tuntutannya. Mudah tak membaca buku?

Yang di beri contoh hanyalah berkenaan membaca bahan islami. Bagaimana tentang ilmu khusus yang anda pelajari? Seperti di atas atau tidak? Serupa sahaja bukan? Jadi jika ketika peperiksaan anda tidak mampu menjawab, jangan salahkan soalan diputar ligat sampai susah nak aplikasikan benda yang dah di ajar. Tapi renung kembali, sudahkah anda selesai membaca semua nota-nota anda? (Ketika ini, penyesalan tidak berguna lagi. Teruskan menjawab). Yang ini hal study.

Jadi macamana dengan hal yang lain? Hal kemahiran menarik hati manusia untuk menyampaikan islam? Atau mudahnya, da’wah? Cukupkah sekali mencuba kemudian, Ini memang kes luar biasa. Dah tak boleh buat apa. Berserah saja. Mungkin kelak Allah akan buka pintu hati dia. Renungkan kisah Abu Bakar menda’wahi Bilal. Dari pagi, di suruh datang kemudian. Sampai ke petang di suruh lagi kemudian. Kemudian Abu Bakar tidak mampu menunggu lagi, dia datang di malam hari sehingga Bilal menyoal, tidakkah sempat jika datang sahaja esok hari. Lantas As-Siddiq menyoal, yakinkah esok akan ada buat kamu? Beliau mencuba berkali-kali. Tidak mencuba hanya sekali. Lihat pula Abbas As-Sissi. Berapa jenis kemahiran da’wah yang dicubanya? Berapa kali beliau terus mencuba? Cukupkah sekali maka memadai? Da’wah perlu dilaksanakan berkali-kali. Dari satu tahap ke tahap yang lain pula. Yang dibicarakan hanya da’wah fardhiyah. Bagaimana yang lain? Sekali buat, sudah memadaikah?
Fikir sekejap. Nanti habiskan pembacaan.

Dah habis fikir? Saya rasa sekali tidak mungkin sudah memadai. Anda bagaimana pula?

Saya terfikir juga, memadaikah sekali sahaja menunaikan solat sunat nikah? =)