Friday, September 1

Sebuah kisah indah untuk masa depan

Petang Jumaat yang penat dilalui seperti biasa...Sebelumnya kelas tamat jam 10 pagi, kemudian berungkus lumus menyiapkan laporan makmal Design and Materials 2. Hari ini, aku bermula awal. Jam 5.30 pagi sudah di dalam kereta menuju ke Carlton Mosque untuk solat subuh dan juga untuk sesi Motivasi Jumaat. Alhamdulillah sempat mengejar jemaah pertama. Tajuk Motivasi kali ini berkisar tentang pemakanan sihat di kalangan umat islam, terutamanya di kalangan ikhwah di sini. Mudah tetapi memang sukar untuk dilaksanakan. Mungkin cara hidup orang bujang yang memandang ringan akan nutrien dan pemakanan. Tapi bukan cara hidup yang sesuai buat mereka yang ingin menjadi seperti generasi unik.
Namun MoJu itu bukanlah kisah utama. Yang menjadi pokok di sini adalah tatkala aku hendak berjalan pulang ke rumah setelah hasrat untuk bermain tenis tergadai kerana gelanggang yang sudah penuh. Semasa aku berjalan menuju ke Bouverie Street; jalan biasa aku pergi dan balik ke kampus, aku disapa dari belakang oleh seorang ikhwah senior. Dia sedang berbasikal, kemudian bergerak perlahan hingga tiba di lampu isyarat Bouverie dan Grattan di hadapan Prince Alfred Hotel. Kemudian ikhwah tadi turun dari basikal dan menuntunnya, mengambil keputusan untuk berjalan bersama. Kami berbual tentang respons di laman web dakwah-info. Kami tertawa kecil membincangkan tentang respons terhadap cerpen-cerpen yang lebih banyak dari respons untuk artikel-artikel ilmiah yang sungguh banyak disediakan. Sekaligus menimbulkan tanda tanya apakah kita masih belum mencintai ilmu-ilmu yang bertaburan ataukah memang kita merindui kisah-kisah yang bermain dengan jiwa walaupun hanya coretan mencurah pengajaran? Hm...fikiranku bercanda tawar melayan soalan ini. Kamu bagaimana?
Tapi yang benar-benar mampu dijadikan kisah indah buat masa hadapan adalah kesanggupan ikhwah itu untuk menemani aku berjalan ke rumah walhal dia boleh saja untuk terus ke rumah dan menggunakan masa yang ada untuk menelaah pelajaran atau melakukan amal yang lain pula. Namun dia memilih untuk bersamaku meniti Bouverie ke Leicester. Aku tidak tahu apa pendapat kalian atau apa pandangan kalian tapi bagiku itulah keperibadian seorang dai'e yang tidak jemu bersama manusia utnuk memastikan ia tidak sekali bersendirian dan dibaham serigala nafsu dan syaitan. Itulah keperibadian yang hanya ditemukan di dalam drama-drama kanak-kanak di saluran pendidikan, yang mana akhlak pelakon dicedok terus dari skrip alam fantasi. Namun itulah hasil tarbiyah islam yang suci lagi indah. Hanya kita menyaksikannya dengan senyuman ragu-ragu, menilai aku membesarkan cerita dan mengada-adakan pengajaran seperti yang kita pelajari di sekolah menengah. Walau aku sudah di tahun kedua, namun aku tetap merasa terkesan dengan approach ikhwah tersebut. Benar-benar suatu pengajaran buat mereka yang menyintai dakwah kerana Allah.
Sukar untuk aku menceritakan tentang kisah ini dan untuk aku memuaskan hati setiap kamu yang membaca tapi itulah yang aku rasakan. Moga kita mengambil pengajaran. Terima kasih ikhwah semua yang menggembirakan aku di dalam incubator kecil ini. Moga rama-rama terbang kembali membawa keindahan yang memukau hati manusia.

No comments: