Friday, October 27

Hidup di atas dan di bawah

Assalamualaikum, lama tak menulis. Banyak sangat assignment sampai celaru masa hidup. Tapi kalau nak diikutkan, tak pernah banyak pun, cuma penyusunan masa yang betul saja yang menjadi punca dan aspek delay yang terlalu banyak memainkan peranan dalam mempengaruhi perjalanan kehidupan kita. Ada orang yang delay response dia yang kecik sangat, jadi waktu dia untuk buat kerja lain bertambah banyak. Tapi ada sesetengah orang yang panjang sangat delay dia. Kalau ikut Systems Modelling, rise time dia panjang sangat untuk sampai steady state. Jadi kesimpulan dia, satu sistem yang mempunyai rise time yang terlalu panjang adalah sistem yang menyebabkan kegagalan kepada tujuan sistem itu. Output yang dijana tidak mampu untuk menyelesaikan masalah yang wujud.

Jadi terus kepada topik kita(topik saya sebenarnya), memang kehidupan kita mempunyai atas dan bawah. Ada waktu kita merasakan iman sudah melonjak tinggi sehingga membaca satu dua ayat al-Quran mampu membuatkan kita menangis dan menjadi bergetar di hati sehingga kita bersujud syukur kepada Allah. Tapi ada pula masa yang hidup kita berada di tahap kritikal, seolah-olah kita mahu berundur dari satu medan perang, dan terasa mahu saja melepaskan semua tanggungjawab yang pernah diambil ke tepian jalan dan biar saja orang lain yang mengambilnya. Itulah realiti kita hidup seorang muslim. Bagi kita, yang berubah dan pada firasat kita adalah iman dan taqwa tetapi bagi yang lain, turun naik adalah kesenangan dan keselesaan dalam kehidupan. Yang menjadi
concern kita adalah hubungan kita dengan Allah. Moga-moga kita punyai pemikiran dan gerak hati sebegini.

Dari isu ini, maka timbullah kisah Muaz bin Jabal yang berkata,

إجلس بنا نؤ من ساعه

yang ertinya, "Marilah kita duduk sejenak dan beriman". Kata-kata ini munculnya dari seorang sahabat yang sememangnya amat dikenali dengan sifatnya yang menakjubkan dalam menghidupkan syiar islam dan memperjuangkannya. Beliau menyedari akan perlunya untuk kita mempunyai satu sela masa dalam kehidupan kita untuk meng'koreksi' diri. Satu perkara yang lebih dikenali dengan muhasabah. Mungkin satu isu yang muak untuk diperbincangkan lagi tapi merupakan satu bentuk pembinaan diri yang amat hebat. Jika benar ia tidak perlu, maka tidak akan wujud perkataan seperti muhasabah, reflection on oneself dan macam-macam lagi. Satu senjata yang hebat yang mana amat sangat kecil nilainya pada orang yang mempunyai ego yang besar dan tidak merasakan bahawa dirinya silap dan lemah. Tetapi di dalam islam, muhasabah itu merupakan agen tindak balas terhadap kesilapan dan kelemahan kita. Di dalam al-Quran amat banyak Allah s.w.t menurunkan ayat memerintahkan manusia untuk memerhatikan alam dan melihat kebesaran Allah. Dalam perlakuan kita melihat alam dan mengakui kebesaran Allah, ia merupakan suatu muhasabah kepada kita bahawa ilmu, kekuatan, kekuasaan dan apa sahaja yang kemampuan yang wujud pada kita hanyalah setitis dari lautan ilmu Allah, bahkan lebih sedikit lagi dari itu. Di sinilah berputiknya rasa kehambaan dan mewujudkan rasa keinsafan, menjadikan diri kita lemah di hadapan Allah s.w.t.

Hasil daripada muhasabah atau duduk sebentar untuk beriman inilah yang menjadikan kita hamba yang lebih hampir kepada Allah. Dan kemudiannya, kedekatan kita kepada Allah dan perasaan Allah hampir kepada kita inilah yang dipanggil muraqabah yang mana kemudiannya kita mengawasi setiap gerak geri kita agar Allah s.w.t. yang sememangnya Maha Melihat dan Maha Mengetahui memerhatikan gerak-geri kita yang diredhaiNya. Ini lahir dari kita yang menjadikan gerak-geri kita sebaik mungkin dan semampu yang boleh agar menjadi gerak-geri dan perlakuan yang diredhai Allah. Mana mungkin Allah yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui mampu terlepas pandang dari perbuatan kita yang mengingkari arahanNya dan melanggar laranganNya? Maha Suci Allah dari kelemahan itu. Bertitik-tolak dari kita bermuhasabah dan bertaubat atas kesilapan kitalah yang akan menjadikan kita individu muslim yang lebih baik, dan seterusnya mewujudkan masyarakat muslim yang menghayati nilai-nilai islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah dengan sahih.

Namun amatlah menjadi dukacita bagi kita apabila mendengar dan melihat sendiri dengan mata kepala bagaimana masyarakat islam itu sendiri mengenepikan kepentingan muhasabah dan memeperlekehkan keberkesanan muhasabah terhadap iman dan ketaqwaan. Sebaliknya, muhasabah yang digalakkan adalah muhasabah terhadap keadaan moral dan akhlak yang sebenarnya lahir dari pemusatan fitrah dan fikrah, baik individu mahupun masyarakat. Apabila masyarakat memerhatikan individu-individu atau sekelompok manusia melakukan ibadah-ibadah tambahan dan perkumpulan yang melalui proses muhasabah, pelbagai pandangan negatif ditaburkan kepada mereka, walhal yang menyampaikan pandangan itu jauh sekali dari penghayatan terhadap islam apatah lagi dengan muhasbah atau refleksi diri. Andaikata nikmat dan kesan dari muhasabah yang ikhlas itu diketahui oleh segenap manusia, nescaya penuhlah masjid-masjid dan surau-surau dengan orang yang menangisi kesilapan yang lalu. Dan berpusu-pusulah manusia melaksanakan kebaikan dan berkelakuan baik dan mulia sahaja. Jauhlah masyarakat dari kebuntuan masalah sosial dan jauh pula dari penyakit-penyakit hati yang menyebabkan masalah sosial berleluasa.

Isu kehidupan yang di atas dan di bawah merupakan salah satu sebab mengapa muhasabah itu penting. Dikala muhasabah itulah jiwa yang lemah dan terasa longlai akan menjadi kuat, umpama cahaya pelita yang hampir kehabisan minyak dan hampir habis sumbunya, kemudian ia diisikan dengan minyak yang baru dan digantikan pula sumbunya. Akhirnya kecerahan pelita itu kembali terlihat dan menyinari pula sekelilingnya. Lebih-lebih lagi bagi golongan yang ingin menyeru manusia kepada islam, yang inginkan dakwah itu terus berkembang, muhasabah itu menjadi lebih kompleks dan lebih penting lagi. Berapa ramai kita saksikan mereka yang pada awalnya memacu dakwah dengan hebat, kemudian pada akhirnya malap dan lebih teruk lagi hilang terus sinarnya. Na'uzubillahiminzalik, moga Allah teguhkan hati kita dan Allah tetapkan pendirian kita. Satu aspek yang menjadikan islam pada zaman sahabat terus menerus menyinar adalah adanya para sahabat seperti Muaz bin Jabal dan ramai lagi yang lainnya yang menyeru kepada para pejuang yang seangkatan untuk turut bermuhasabah dan duduk sejenak untuk beriman. Ajakan itu merupakan satu perangsang kepada ahli-ahlinya yang lain untuk turut menghampirkan diri kepada Allah s.w.t. Adalah menjadi tanggungjawab dan tuntutan ke atas seorang muslim kepada saudaranya untuk mangajak agar duduk sebentar dan beriman, kerana manusia yang seringkali berubah kedudukan, seringkali juga terlepas pandang untuk mengenang kembali kesilapan yang lalu dan mengambil pengajaran.

Bagi mereka yang menyeru manusia kepada agama Allah hatta kepada kebaikan sahaja sekalipun, konsep muhasabah yang digunapakai buat mereka menjadi suatu rutin dan sistem yang lebih sophisticated. Di sini bukanlah bermakna ia diisi dengan apa-apa ritual tambahan ataupun apa-apa restrictions nor requirements dalam hendak bermuhasabah, tetapi dari segi aspek yang dipertimbangkan itu menjadi lebih banyak. Bagi yang bergerak dalam kumpulan, aspek muhasabahnya melingkupi keberkesanan bentuk gerakannya, penerimaan masyarakat kepadanya, kesahihan perjalanannya dan pelbagai lagi. Sedangkan bagi seorang individu, perhubungannya dengan manusia dan hubungannya dengan Allah menjadi fokus utama. Perlu juga menjadi kejelasan bahawa muhasabah itu bukan sahaja kita berinteraksi dengan hati kita, ataupun hanya internal correlation tetapi menjadi satu bentuk yang lebih efektif untuk 'koreksi' diri itu dikongsi bersama; bukan dengan seluruh masyarakat, tetapi dengan mereka yang dipercayai punyai pintu penyelesaian kepada masalah kita. Bagi satu-satu perkumpulan, ini mampu memperbaiki lagi corak pergerakan mereka dan bagi individu pula, impaknya labih mendalam dan lebih berpanjangan. Ditambah pula dengan sokongan pihak lain dalam ia mahu memperbetulkan dirinya.

Oleh itu menjadi keperluan bagi kita untuk bersama-sama mencari masa untuk koreksi diri kita dan memperbaiki kelemahan yang ada pada kita. Sungguh banyak artikel yang ada yang menerangkan hikmah-hikmah di sebalik muhasabah dan kaifiyatnya terhadap hati manusia.

Sekadar perkongsian pemikiran. Afwan kerana terlalu panjang. Moga hati yang membangkitkan isu ini lebih banyak beramal dari hanya luahan kosong.

No comments: