Monday, February 25

Dakwah 5 minit. Tahu atau tidak?

Kebelakangan ini, kecenderungan aku untuk menggiatkan diri dengan manusia meningkat. Banyak yang ingin dilakukan, sehingga sekerap detik yang berlalu, sekerap itu juga aku terfikir tentang orang-orang yang boleh aku ketemu, apatah lagi dengan mereka yang patut aku ketemu. Dakwah fardhiah, itulah antara metode dakwah yang paling besar ruangnya, namun pelaksanaannya bukan calang-calang. Ramai orang yang pernah mendengar tentang dakwah fardhiah, namun tak ramai pula yang sanggup untuk komited dengan usaha ini selagi masih ada peluang. Metode inilah yang banyak menceritakan kisah-kisah indah interaksi manusia dengan manusia. Kisah-kisah perkenalan yang menggamit hati, yang menyentuh jiwa, akhirnya memberi kesan yang besar. Namun tak sedikit pula yang tidak pernah tahu tentang dakwah fardhiah ini. Dakwah fardhiah ringkasnya adalah usaha dakwah yang memerlukan interaksi secara individu dalam usaha untuk menyeru manusia kepada islam. Tidak terhenti sekadar interaksi, berlanjutan kepada pengawasan terhadap perkembangan mereka yang didakwahi dalam amal islami mereka, atau perubahan-perubahan pada akhlak mereka dengan matlamat memastikan ada kebaikan yang menyerap ke dalam mereka, lantas dilaksanakan, tidak sekadar bersetuju sahaja.
Namun satu perkara yang kadangkala menyelubungi pelaksana dakwah fardhiah adalah kegagalan mencari peluang seluas mungkin dalam mencari sasaran dakwah. Kerapkali usahanya terbatas kerana kegagalan mengenal pasti mereka yang benar-benar berpotensi dalam menerima dakwahnya. Di satu aspek lain pula adalah kegagalan mengenal pasti potensi sasaran dakwah itu. Di pintu mana hendak dimasuki, bahagian mana padanya yang hendak diutamakan, apakah kebaikan pertama yang perlu diserapkan padanya...dan sebagainya. Kemampuan untuk membuka pintu potensi terhebat sasaran dakwah adalah kunci kepada kemudahan melaksanakan dakwah anda. Jadi bagaimanakah caranya?
Seawal perjalanan melaksanakan dakwah fardhiah, seharusnya kita mengenali dahulu tingkatan-tingkatan dakwah fardhiah. Memahami dan menyedari tabi'inya jalan ini adalah penting untuk kita tidak terburu-buru dalam menyeru manusia kepada islam. Seandainya ini berlaku, boleh jadi anda akan ditolak dan anda mungkin melalui waktu paling mengecewakan.
Pertamanya; hendaklah anda berta'aruf dengan sasaran dakwah anda dengan sebaik mungkin. Hendaklah anda mengenali salasilah keluarganya yang ringkas dan butir-butir keluarganya. Ajukan sahaja soalan-soalan untuk anda kenali lebih dalam, dan jangan lupa untuk ceritakan juga bahagian anda agar mereka merasa selesa dengan perkongsian itu. Di waktu ini, amat baik untuk anda memaparkan rasa ambil berat anda, jika anda tidak bersama mereka, jangan segan untuk menghantarkan SMS bertanya khabar atau berisi hadis, ayat-ayat Quran atau kata-kata hikmah. Jika anda menyedari keperluan-keperluan mereka yang tidak lagi mereka punyai, segerakan langkah untuk menyiapkannya. Namun satu pesan yang tidak keterlaluan, jadikanlah ia nampak bersahaja. Jangan terburu-buru melakukan 'kebaikan' sehingga dia naik jemu dengan anda. Di waktu ini, perlu bijak menggunakan suatu perasaan manusia yang amat kuat, iaitu rindu. Selangkan pertemuan anda dengannya, namun isikan setiap pertemuan dengan perkara-perkara yang bermanfaat dalam membina hubungan anda dengannya. Jangan datang ziarah, tapi duduk di tepinya menonton TV bersama tanpa ada interaksi dengannya. Atau hanya singgah untuk mengulangkaji pelajaran. Jika sudah terlanjur, jangan lupa untuk mengajaknya keluar ke kedai sebentar, atau makan bersama. Makan pun, tak semestinya makan yang berat-berat, tapi makanan yang ringan-ringan seperti kacang bakar dengan air soya, atau jeruk buah dengan teh O panas, takpun yoghurt dicampur buah dalam tin. Hanya sekali dua dengan menu-menu istimewa, yang lainnya, ikutlah bajet tahunan anda. Ini baru langkah untuk berkenalan. Pastikan mereka mengenali anda kerana peribadi anda, bukan sebab makanan-makanan yang enak sahaja.
Seterusnya adalah untuk menerapkan iman dan menyerunya untuk melaksanakan amal islami sedikit demi sedikit. Sebelum anda melangkah ke tahap ini, siapkanlah diri anda dengan ilmu tentang perkara asas dalam ibadah harian, sifat-sifat islami dan banyakkan membaca buku Riyadhus Salihin. Jika dia sudah terbiasa dengan anda, maka biasakan pula mereka dengan amalan-amalan ringkas yang mudah diamalkannya. Dengan syarat, anda pun sudah terbiasa dengannya(amalan-amalan ringkas). Di sini anda akan mula bermain tarik tali dengannya. Ada perkara yang perlu berlembut, ada perkara memerlukan anda bersikeras(bersikap keras). Jelasnya, anda perlu tahu pada apa yang dikeraskan, pada apa yang ditolak ansurkan. Pada perkara prinsip dan asas, hendaklah anda teguh dan tegas seperti Tuhan adalah Allah semata, solat 5 waktu adalah wajib, puasa adalah wajib, aurat tetap aurat, dosa dan pahala ada, dan etc. Pada yang boleh ditolak ansur, tarik-tariklah dengan dia. Seperti makan tak baca doa, takbir tak angkat sungguh-sungguh, wudhu' tak kemas, solat di masjid liat-liat, makan lebih-lebih dan seumpamanya. Sebab itu perlu disiap dengan ilmu. Siap siaga. Dan satu perkara penting di sini, benar-benarlah berpegang dengan islam, dan berbanggalah dalam melaksanakannya, 'izzah bukan menunjuk-nunjuk. Islah nafsah, wad'u ghairah.
Tapi mengapa ditajukkan dakwah 5 minit. Tahu atau tidak? Sebab tak semestinya kamu mengambil masa sehingga berjam-jam untuk meyakinkannya bahawa kamu seorang sahabat. Adakalanya hanya 5 minit sudah cukup untuk kita mengikat dia dengan kita. Barangkali 5 minit kita melaksanakan sesuatu sedang dia melihatnya sudah cukup untuk dia beramal dengannya. Kebiasaannya hujah lebih melelahkan dari qudwah. Jadi biasakan diri dengan akhlak yang baik. Kerana 5 minit anda beramal barangkali diterima ALlah dari berjam-jam berhujah dan berkata kerana boleh jadi anda terlepas kata dan mendapat murka ALlah. Bukan begitu? Tak selalunya begitu juga, deh !
Apa yang saya lontarkan adalah berdasarkan pengalaman-pengalaman saya. Mungkin anda yang sudah lebih banyak pengalaman boleh dikongsikan di sini. Atau diskusikan di sini setelah anda mendaftar di sini. Lawatilah web ini.

Wallahu'alam bishawab.

No comments: