Wednesday, March 26

Lessons from the cheeses

Some lessons are best learnt from simple stuffs. These are some excerpt and interpolation of its meanings to fit with us as muslims from the book 'Who Moved My Cheese?'

The more important the cheese to you, the more you want to hold on to it.

Lebih besar kepentingan sesuatu perkara itu, lebih kuat lagi keinginan kita untuk berpegang dengan perkara tersebut.

Ada dua tarikan dalam kehidupan kita, iaitu tarikan kepada kebaikan, kesungguhan, kejujuran, ikhlas dan pendek kata tarikan yang islami yang akhirnya membawa kepada amal yang baik dan akhlaq yang mulia. Keduanya adalah tarikan kepada keburukan, lemah dan putus asa, khianat atau mudahnya yang mengikut nafsu dan syaitan. Jadi apa kaitannya dengan petikan ayat di atas?Ayat di atas menggambarkan sifat kita terhadap sesuatu.

Sememangnya fitrah manusia itu akan merasa terikat terhadap sesuatu perkara yang dirasakan penting. Contohnya kita amat cenderung dengan kedua ibu bapa kita kerana mereka adalah orang yang penting dalam kehidupan kita. Manusia terikat dengan pekerjaannya kerana baginya itu adalah sumber rezeki dan seterusnya menjamin keberlangsungan hidupnya. Pelajar contohnya terikat dengan keputusan atau ijazah yang akan dicapainya, maka ia akan berpegang dengan usahanya untuk mendapatkan keputusan itu.

Persoalannya untuk anda semua, apakah yang lebih utama kepada diri anda yang saat ini membuatkan anda berpegang teguh dengannya? Inilah yang terkait kembali kepada tarikan yang saya nyatakan tadi, adakah anda tertarik untuk perkara-perkara yang islamik atau yang tidak berbaur islamik? Mudahnya, apakah yang menarik anda untuk menjadikan sesuatu perkara itu yang paling utama dalam kehidupan anda dan membuatkan anda berpegang teguh dengannya?

Saya merasakan agama saya sebagai suatu yang amat penting untuk saya berpegang teguh dengannya, dan saya bersungguh mahu berpegang dengannya. Inilah saya, anda bagaimana pula?

If you do not change, you can become extinct.

Sekiranya anda tidak berubah, anda akan pupus.

Benarkah kenyataan di atas? Bolehkah anda pupus? Atau hilang? Mari kita lihat kembali kepada kuliah yang sebelum ini. Apa yang lebih penting buat anda akan membuatkan anda berpegang lebih kuat padanya. Saya bersetuju bahawa islam lebih penting buat saya, maka saya berpegang lebih kuat padanya. Bagaimana anda pula? Apa yang saya nak bawakan di sini adalah untuk anda yang sebelum ini tertarik dengan perkara tidak islamik, atau kurang baik, dan mendapati diri anda sukar untuk berubah atau masih berat untuk mengutamakan yang sepatutnya.

Sebagai satu motivasi untuk anda mengambil langkah pertama, atau mungkin untuk anda berfikir bagi mangambil langkah pertama, ingatlah bahawa sekiranya anda masih di takuk lama, anda akan tetap tinggal di situ. Anda akan ditinggalkan oleh arus perdana perubahan. Tsunami ini anda tak mampu tahan. Sekiranya anda masih teguh di persimpangan lama sedang orang lain sudah mengorak langkah, anda akan tertinggal dan anda akan pupus di mata mereka yang telah berubah dan hanya memori mereka yang mengatakan anda masih wujud. Di realitinya, mereka mengecap sesuatu yang lebih baik, dan mereka mencapainya dengan perubahan, sedang anda masih ragu-ragu atau malas untuk berubah dan akhirnya anda akan pupus.

Kepupusan anda mungkin akan disedari tapi hakikat kepupusan anda tidak membuatkan orang yang telah berubah akan berhenti dan berpatah balik, tapi mereka sekadar bersedih dan akan memastikan di masa hadapan tidak ada lagi yang akan pupus seperti anda. Lihat burung dodo yang telah pupus. Awalnya memang manusia bersedih, tapi kini, ia telah lenyap dari generasi baru, dan yang mereka laksanakan adalah perlindungan ke atas haiwan lain, tapi hakikatnya, dodo tetap telah pupus dan ia tidak menikmati kehidupan yang ada sekarang.

Saya telah berubah kerana tidak mahu pupus. Inilah saya, anda bagaimana pula?

Smell the cheese often so you know when it is getting old.

Hidulah keju anda selalu supaya anda tahu bilakah ia akan membusuk.

Mudah sahaja maksud kata-kata di atas. Pendek kata, muhasabahlah diri anda selalu supaya anda tahu bilakah anda akan membusuk. Jika anda sedar akan hakikat ini dan telah melaksanakannya berkali-kali, maka itu suatu kebagusan buat anda sebab itu akan memastikan kesegaran anda berpanjangan. Mungkin yang ini untuk mereka yang sudah berubah kerana tidak mahu pupus dan sudah meletakkan perkara yang lebih utama sebagai perkara yang memberi tarikan yang positif dan islamik.

Jika anda sudah berfikir untuk mengambil langkah yang sepatutnya juga, anda perlu tahu tentang perkara ini. Penting untuk anda menghidu diri anda sendiri kerana anda akan tahu bila anda akan membusuk, baik secara fizikal mahupun secara rohani bahkan fikiran dan idea anda juga akan membusuk. Bukan susah untuk menghidu keadaan diri anda sendiri cuma yang penting adalah anda mengambil 7 minit dari hari anda untuk duduk bersila dan fikirkan adakah anda sedang membusuk seperti keju yang sudah lama? Dan lebih penting, muhasabah ini lebih baik dibuat sewaktu tengah hari, kerana jika ada tanda-tanda busuk, anda masih punya waktu untuk berubah sebelum hari ini tamat. Ambil masa untuk makan tengah hari sendirian dan hidulah diri anda setelah anda makan.

Apa yang bahaya adalah apabila ada orang lain yang sudah mampu menghidu kebusukan diri anda. Jika bau badan, maka mudah untuk mengelat. Hari ini banyak kerja, berpeluh dan keringat banyak. Jadi bau busuk sikit. Tapi kalau sikap yang sudah busuk, kebaikan sudah menjadi kejahatan, akhlaq juga membusuk, penuh dengan perangai busuk, dan orang lain menghidu dahulu sebelum anda, maka tidak punya alasan lagi untuk anda kerana anda sudah berperangai busuk dan manusia terasa jelik bersama anda.

Saya selalu menghidu diri saya agar saya tidak busuk. Inilah saya, anda bagaimana pula?

The quicker you let go of old cheese, the sooner you find new cheese.

Lebih cepat anda meniggalkan keju yang lama, lebih cepat anda mendapat keju yang baru.

Yang ini lebih mudah untuk anda faham bukan? Jika anda tinggalkan yang lama, barulah anda dapat mengambil yang baru. Persoalannya, sekarang atau nanti? Cepat atau lambat? Bersegera atau bertangguh? Itu yang membezakan anda dengan yang lain. Itu yang menjadikan orang lain sedar kebusukan anda dahulu atau anda sentiasa sempat menghalang diri anda dari busuk dan terus menerus mewangi.

Jika anda telah berfikir untuk melakukan perubahan dengan berubah dari tarikan negatif kepada yang islamik, kemudian anda tahu dengannya anda perlu pastikan anda tidak busuk setiap masa, maka sekarang yang menanti hanyalah untuk anda membuat keputusan untuk berubah itu sekarang atau nanti. Menjadi positif, islamik, dinamik dan proaktif sekarang atau tunggu dahulu biar benar-benar busuk baru cari jalan untuk berubah? Itu pada anda.

Yang membezakan antara orang yang berjaya dan dinamis dari orang yang bijak tapi pasif adalah kebolehan dalam membuat keputusan yang positif dalam sekejap waktu. Berapa ramai orang yang tidak cemerlang dalam akademik dan tidak punya IQ yang tinggi, tapi mereka mampu untuk menjadi orang yang berjaya, lebih hebat dari mereka yang ke universiti dan cemerlang akademiknya? Mereka melihat urgensi untuk berlumba membuat kebaikan lebih utama lagi dari hanya urgensi berbicara dan berdiskusi seperti bijak pandai. Mudahnya, mereka cakap serupa bikin, dan cepat.

Jadi, saya dulu lagi telah mengambil langkah cepat meninggalkan keju yang lama untuk mendapatkan keju yang baru. Inilah saya, anda bagaimana pula?

5 comments:

Anonymous said...

anda telah berubah ke arah yg baik, Alhamdulillah. Jazakallahu khayr for such a good entry. Semoga Allah memberi kekuatan kpd saya utk berubah.

Anonymous said...

jazakillah for sharing

Anonymous said...

jazakallah..

Anonymous said...

bertuahnye anda...moga Allah beri kekuatan kpd sy juge untuk berubah..

al asad said...

I do love my cheese but I know the cheese will sooner or later rot... smelly cheesy? Not my style