Saturday, June 17

Basikal tua...

Al-kisah pada ketika tahun 70-an, saat yang mana orang-orang di Malaysia sedang sibuk dengan ago-go, era permulaan rock, melayani filem-filem hindustan dan kisah-kisah cinta ideal yang di bawa dari barat. Zaman kegemilangan seluar bootcut dan rambut sikat tepi yang kemas serta baju-baju kemeja ketat sungguh galak diragakan. Suatu zaman yang dilalui oleh seorang pemuda bernama Jiman(bukan nama sebenar).
Jiman adalah seorang pemuda yang terkenal di Kampung Kubang Kedondong(bukan kampung sesiapa). Penuh bergaya, Jiman mampu menarik perhatian anak-anak gadis kampungnya. Cara berjalannya yang tenang dan ditambah pula dengan wajahnya yang tampan, tidak sesawo matang pemuda-pemuda lain di kampung itu. Kulitnya cerah, hidung mancung dan pandai bergaya. Lagi pula, bapaknya seorang peniaga di kampung itu. Memiliki satu-satunya kedai menjual kelapa dan santan serta produk-produk sampingan yang mampu dihasilkan dari kelapa seperti sekaya dan minyak rambut. Produk yang paling tinggi nilainya di kedai Haji Usin, bapak Jiman, adalah umbut kelapa yang amat sedap dimasak lemak putih. Dengan status Jiman yang amat ketara berbeza dengan rakan-rakannya yang lain, Jiman telah menyuarakan kebosanannya dalam berjalan kaki ke perhentian bas di bawah mentari terik apabila dia hendak ke pekan. Lantas, Jiman telah membuat kertas kerja dan membentangkan kepada ayahnya, layaknya seperti seorang ahli perniagaan yang ingin mencadangkan kepada ahli lembaga pengarahnya akan perlunya pihak kompeni membeli sebuah kereta mewah untuk kegunaannya dan keluarganya. Setelah sehari suntuk membentangkan kepada ayahnya akan cadangannya itu, akhirnya, bapaknya telah termakan dengan helah Jiman. Lantas, Jiman berjaya mendapatkan sebuah basikal tua(yang ketika itu tidaklah tua lagi) jenama Raleigh berwarna hitam. Bersama dengan pembeliannya, tokei kedai basikal itu menghadiahkan kepada Jiman rantai tahan karat serta mangga jenama manggis untuknya mengunci basikalnya apabila meninggalkan basikalnya di perhentian bas agar tidak dicuri.
Maka Jiman pun bergayalah dengan basikalnya itu. Dikayuhnya basikal itu kemana saja dia pergi. Bahkan nak ke tandas di belakang rumahnya pun, dia mengayuh juga basikalnya dan merantaikan basikalnya itu di batang pokok pinang bersebelahan tandas rumahnya itu. Jiman amat menyayangi basikalnya itu. Dibasuhnya setiap selang 4 hari dan dibawa ke kedai basikal untuk menjalankan overhaul setiap 2 minggu. Jiman obses dengan basikalnya.
Setelah hampir 3 tahun menunggang basikal, Jiman menjadi bosan lagi. Jiman mahukan kereta pula. Maka dirancangkannya satu lagi kertas kerja untuk memohon pada ayahnya sebuah kereta. Akhirnya, Jiman berjaya lagi. bapaknya membelikan untuknya sebuah kereta Fiat berwarna merah, semerah biji saga. Basikal tuanya pula dikunci di bawah rumahnya, dibiar berkarat.
Setelah 30 tahun, basikalnya itu masih lagi di bawah rumahnya. Jiman sudah menjadi tua. Dia kini mengambil alih kedai kelapa ayahnya dan telah membuka lebih 15 cawanangan di sekitar rumahnya. Penuh dengan kelapa. Dia pun telah berkahwin dengan seorang anak gadis yang tidak terlalu lawa, tetapi tetap menjadi kegilaan anak-anak muda berkulit sawo matang di kampungnya.
Suatu hari, datanglah seorang pemuda, dia berminat dengan basikal tua Jiman kerana jiwanya yang oldskool. Dia meminta pada Jiman kebenaran untuk mengambil basikal itu tetapi Jiman dengan lantang bersuara, "Kau jangan mengada-ngada. Basikal tu banyak jasa dekat aku. Banyak manfaat aku dapat dari basikal tu. Senang-senang kau saja nak ambil. Kalau kau nak jugak, kau buat kira-kira, berapa net present value dia berbanding dengan 30 tahun dulu. Lepas tu kau kira pula berapa rate yang patut aku letakkan untuk aku dapat profit 10% bagi setiap tahun sepanjang 30 tahun dengan net present value yang kau kira tadi. Lepas tu, baru kau boleh ambil basikal tu." Jiman tertawa besar mengenangkan soalan yang tidak dapat dijawabnya semasa di unversiti dahulu diajukan kepada seorang budak kampung sepertinya. Pemuda itu terasa kecewa, lantas bergerak lesu ke arah sebuah kedai kopi di hujung Jalan Pinang Sebatang. Lantas pemuda itu bersuara,"Wahai Bani Kubang Kedondong, sungguh, si Jiman telah menghinakan aku dengan soalan ekonomi bertaraf pelajar tahun kedua bidang kejuruteraan Universiti of Melbourne. Dia mengherdik aku dari jendela rumahnya. Apakah ada diantara kamu yang mahu membela aku?" Maka bangkitlah seorang tua yang sebaya dengan Jiman yang memendam dendam dengan Jiman kerana Jiman merasakan dia tidak layak berkahwain dengan gadis nombor satu kampung mereka. Dia pun lantas ke rumah Jiman, memaki hamun Jiman dan basikalnya. Habis dikutuknya basikal Jiman. Dia turut menyatakan Jiman semakin menjadi-jadi setelah mendapat kereta Fiatnya itu. Dia ungkit kembali segala kejahatan Jiman semasa bersama-sama kereta Fiatnya dan menyatakan bahawa dengan basikal tua itu, perangainya teramatlah baik.
Kemudian Jiman naik berang. Dia melakukan rusuhan bersama-sama ahli persatuan jejaka berkulit tak sawo matang. Jiman mengamuk ke seluruh kampung. Jiman memberontak. Kemudian, datanglah seorang lagi lelaki tua yang sebaya dengan JIman dan menenangkan Jiman. Dia kemudian meminta maaf bagi pihak lelaki tua yang mengutuk Jiman tadi. Kemudian, Jiman menjadi tenang kembali. Rakan-rakannya yang lain juga kembali senyap. Namun Jiman tetap tidak mahu membaiki basikal tuanya untuk digunakan kembali agar tidak perlu memberikannya kepada pemuda yang meminta tadi dan tidak pula dia ingin memberikannya kepada pemuda tadi. Dia tetap meninggalkannya di bawah rumahnya. Apalah ,Jiman?


Daripada kisah ini, apa yang aku nak bawakan adalah suatu analogi yang aku lihatkan berlaku di dalam masyarakat islam masa kini. Basikal tua itu seolah-olah al-Quran(derajat al-Quran adalah jauh lebih tinggi daripada ini, sekadar mahu memudahkan analogi) yang dimiliki oleh para muslimin. Kini kita menyaksikan umat islam berusaha mencari sumber-sumber ideologi lain yang terlalu rumit dan menimbulkan terlalu banyak masalah sedangkan petunjuk yang hakiki telah terbentang di depan mata. Kemudian, apabila datang mereka-mereka yang ingin mendalaminya dan menghayatinya, di halang pula golongan itu dan dijauhkan pula mereka itu dari petunjuk yang benar. Kemudian apabila golongan itu mahu meminta bimbingan dari yang lain, hanya musuh-musuh yang datang, memecah-belahkan ikatan antara sesama islam. Kerana kesenangan yang melimpah ruah, umat islam makin leka dan sekadar meletakkan sumber petunjuk, yakni al-Quran itu sebagai perhiasan dan kebanggan masa lalu. Namun apabila diherdik pula akan al-Quran itu dan dituduh pula al-Quran itu dengan tuduhan palsu, sensitiviti umat islam dikejutkan dan reaksinya masih begitu hebat. Tetapi apabila ini berlaku, kata-kata indah entah dari siapa jua mampu menenangkan jiwa-jiwa umat islam. Begitu mudah kita dipermainkan. Begitu mudah kita dibudakkan. Sedih. Itulah realiti yang aku lihat bermain di sekitar umat islam. Al-Quran yang agung hanya sebagai simbol agama, bukan lagi sebagai sumber kehidupan. Fikirkanlah....sekadar trigger buat hati-hati yang mahukan kebangkitan islam semula.

No comments: