Monday, June 19

Siapa kita?

Berjalan jauh aku semalam. Sehari suntuk bergerak ke sana ke mari. Perjalanan aku indah hari semalam. Belum tentu waktu aku akan berakhir indah dan seperti biasa pada malam ini. Suasana di sekitarku berubah dalam sekelip mata sahaja. Ketika semalam aku seronok melihat seorang bayi comel tidur di pangkuan ayahnya, hari ini aku melalui detik-detik kelu dan sedu di sekitar Melbourne. Pada satu permulaan itu, kemungkinan ada pengakhiran buat yang lain. Manusia datang dan pergi. Nyawa lahir dan mati. Kemungkinan aku telah melalui satu pengalaman lebih dari kebanyakan sidang pembaca sekelian. Perjalanan aku selama 20 tahun berubah arah beberapa kali. Dan pada setiap kali itu, aku mendapat sesuatu yang baru, dan bagi setiap ketika itu juga kemungkinan aku hilang sesuatu. Yang pasti kehadiran hidayah padaku kurniaan Allah menghilangkan butir-butir jahiliyah sedikit demi sedikit. Mungkin masih belum semua, tapi aku masih bersyukur kerana nikmat ini terlalu besar. Islam datang dalam hidupku, seperti seorang pejuang yang menghunus pedang, melepaskan panah ke sekitar ku, terhadap musuh-musuh yang cuba mencuri peluang menebas fitrahku yang islam. Islam datang kepadaku dalam suasana yang aku kira aku sedang mencari erti sebenar agama yang aku anuti. Secara jujurnya, aku mengenali usrah pada usiaku 19 tahun. Dalam ketika aku di usia sebelum 19 tahun, aku mengenali gig, mosh pit, studio dan apa saja yang berkaitan muzik. Itu yang aku kenali. Mengapa aku menceritakan semua ini? Kerana aku mahu menyatakan pada sidang pembaca kalian bahawa Allah itu Maha Penyayang, Maha Pengasih dan Allah itu juga Maha Berkuasa mengubah diriku yang entah di mana ketika itu kepada yang aku sekarang. Aku amat mengharapkan Allah senantiasa mengekalkan aku di jalan ini dan di bawah lindungan rahmatNya. Kepada yang masih ragu-ragu, jenguklah sebentar melalui jendela yang terbuka itu. Fasial Tehrani pernah menulis, hidayah itu umpama cahaya yang tidak menyapa jendela yang tidak terbuka. Bagi aku, jendela itu sentiasa terbuka, hanya kita yang berselindung di balik langsir, sombong tidak menjenguk, bodoh terus menyorok. Aku melihat rakan-rakanku, semuanya membuka jendela, cuma segan silu hendak mengintai. Bukan malu dengan yang disirami cahaya, tapi malu dengan mereka yang turut berselindung di belakang langsir, yang tidak menyelak langsir terus menutup tirai. Mengapa malu dengan mereka? Mengapa tidak basahi sahaja dirimu dengan simbahan cahaya itu agar kau boleh membesar. Membesar sebesar pokok durian yang memayungi segala di bawahnya. Dan menjatuhkan pula buah yang berduri lagi berisi tanpa sekalipun mencederakan yang di bawah. Allah menjadikan nikmatnya di atas bumi ini untuk diperhatikan dan agar kita mendapat pelajaran, bukan sekadar untuk diperhati dan menjadi kenangan. Allah menurunkan al-Quran untuk kita hidupkan mesejnya, bukan hanya untuk didodoi pada yang sakit dan dilagukan pada pertandingan-pertandingan tilawah sahaja.
Perubahan aku yang terbesar sebelum aku memeluk islam dengan dakapan yang aku cuba temukan jemariku mungkin pada ketika aku berumur 11 tahun. Hah..Mungkin bagi kalian masih kecil dan masih mentah, seluar dalam pun mak bapak yang belikan lagi! Tapi tanya saja pada diri kalian, umur berapa yang kalian merasa tak segan tak sipu membeli seluar dalam sendiri sambil membayar pada makhluk lain jantina di kaunter juruwang? Jangan ketawakan orang selagi kita belum puas menangis kerana kerdil dan lemahnya kita. Pada ketika itu, aku mengalami seperti mana yang dialami oleh Alami. Sukar untuk menjelaskannya tapi sedikit sebanyak, aku pernah melalui saat itu. Saat dia hilang di depan mataku, sambil air mataku menitis berderaian di pipinya, sambil dia memegang erat tanganku dan bibirnya melafazkan zikir dan syahadah. Tatkala aku melepaskan tangannya, ketika itu juga ia terkulai jatuh, merebahkan jiwa ibunya, menghujankan air mata puluhan jiwa yang lain. Bukan kesepian menyahut pemergiannya, tetapi teriakan dan tangisan. Saat itu, aku terduduk, memikirkan kesahihan peristiwa itu. Ayahku hanya menangis lesu, tidak terkata apa. Abangku bangkit, berlalu pergi membawa diri ke bilik, ditangkap orang di jerkah ke tepian. Memang bingit dan sakit. Jujurnya, airmataku bertakung tika ini...ditatang kelopak mata agar tidak jatuh walau setitikpun. Biar kering pipi ini. Itulah satu perkara yang aku dapati pada diri aku setelah itu. Tiada lagi tangisan sedu kerana perginya seorang yang berharga. Tiada lagi rasa belas yang mendalam pada mereka yang kehilangan tapi hanya memahami, dan mencari jalan keluar buatnya. Entahlah. Mungkin baik, mungkin tidak. Tetapi kali terakhir aku menangis semahunya hanya ketika aku terkenangkan dosaku pada ayahku. Allah amat mengasihaniku. Allah amat menyayangiku. Itu yang aku tahu. Sepanjang pengalaman aku, tidak pernah aku merasa letih dan lesu kerana putus harapan pada Allah. Tidak pernah juga aku merasa dipinggirkan Tuhan seperti yang sering dilafazkan oleh mereka yang melampaui batas. Alhamdulillah Allah telah mempersiapkan aku untuk menghadapi semua itu. Dan aku menjumpai buktinya di dalam al-Baqarah, ayat terakhir, hanya 8 tahun selepas ia berlaku. Subhanallah. Benarlah, tiada apa yang diangan-angankan melainkan kejayaan yang lengah tiba. Cukuplah dengan kesedihan hari ini, lumurkanlah dengan kejayaan hari esok pula agar bila kau goreskan, kau kan mengenangkan segalanya kembali sebagai fasa-fasa kehidupan yang terindah dan mengajar.
Entah di mana objektif aku menulis hari ini. Tajuk entah apa, mesej entah apa. Let me redirect. Kita hanyalah insan yang kecil, tiada apa. Di dalam al-Quran penuh dengan sifat-sifat manusia yang lemah, bodoh, zalim, miskin, kesunyian, tidak mengetahui, hamba....hamba. Itulah kita. Tapi berlagak seperti tuan. Seperti remora tetapi berlagak jerung. Perhatikanlah disekitar kita, jiwa-jiwa yang menanti di sebelah jendela, tertarik dengan kecerahannya, cuma takutkan panas yang digembar-gemburkan oleh mereka yang langsung tidak pernah bermandikan cahaya itu. Satu analogi yang aku fikirkan mampu dikaitkan dengan segala yang disekitar kita. Sama sahaja di realiti. Ramai orang yang mahu menghidupkan islam, tetapi cuma segan untuk melaksanakannya. Takut nanti terasa bahang umpatan dan kritikan orang, kononnya membina, menjana, tapi hanya membakar diri. Di sinilah kita bermula. Di tika inilah kita langkahkan kaki. Agar mereka-mereka ini berdiri di hadapan jendela yang terbuka itu. Sama ada kita menolak mereka keluar dari belakang langsir atau kita selakkan langsir itu buat mereka. Antara dua, salah satunya mesti dilaksanakan. Cahaya itu; terpulanglah pada Allah samada mahu menyimbahinya pada mereka atau tidak. Itu hak Allah. Namun, kadangkala, cahaya itu disorok belakang awan tatkala ia lalu dibawa angin. Tika itu, mereka-mereka ini mungkin sekali merasakan jiwa mereka tidak menerima cahaya hidayah dari Allah, maka, yakinkanlah mereka sehingga ia benar-benar melihatkan awan itu melintasi bilah-bilah cahaya itu. Dan kadangkala juga, mentari terlalu terik, panasnya menyilau di atas kulit. Kemudian tika itu, perkasakanlah mereka dengan keteduhan syurga-syurga dan berdirilah disampingnya agar dia tidak beranjak ke belakang langsir kembali. Hanya seketika, hanya sebentar. Apabila cahaya itu menyentuh mereka, biarkan ia sehingga bilah-bilah cahaya jatuh ke lantai hatinya, kemudian, barangkali dia akan mencintainya. Itulah kita, orang yang berdiri bersebelahan mereka yang berdiri di jendela. Setelah itu, hinggaplah di jendela lain, bersama mereka yang berselindung di balik langsir-langsir mereka. Namun, jauhkanlah diri kita dari jendela yang terlalu besar, yang barangkali kita juga akan terselindung di belakangnya dan menikmati pula keteduhannya, mungkin belum sampai masanya, tapi ia akan tiba. Itulah kita, itulah kita.
Kita tiada kuasa, hanya sedikit upaya. Kita manusia, berusaha menjadi yang terbaik. Kita mencontohi yang terbaik, bukan yang sudah terbalik. Kita mencari sumber yang adil dan benar, bukan sumber yang batil dan kucar. Kita ada Muhammad, mengapa mahu ikut entah siapa yang tidak memberi kesan kepada dunia. Mereka hanyalah tempias-tempias yang hinggap di lantai dalam, sedang Muhammad itu bagaikan hujan yang jatuh di muka bumi, menimpa tanah menumbuh ketenangan. Kita punyai al-Quran, all-in-one. Everything is there. Daripada akhlak ke hukum, dari sistem ke contoh, dari sejarah ke pengajaran, dari syurga ke neraka, dari dunia ke akhirat. Semuanya ada, tapi kita sahaja yang segan silu, bodoh sombong. Bak kata orang tua-tua rumah aku, "Dah naik lemo dah gitau deme, tapi deme telinga bebai, bior dighasanya".

Fikirkanlah, andai tersilap, tegurkan aku. Andai terasa, ubahlah diri, andai tidak, sampaikanlah pada yang lain. Mungkin mereka akan lebih memahami.

No comments: