Monday, June 26

berfikir sejenak, merenung hakikat nasihat...

Aku berfikir sejenak seketika lalu. Sepintas lalu aku terlihat suatu yang melanda manusia di perantauan. Seringkali isu yang menjadi perbualan ramai apabila datang wakil dari penaja masing-masing adalah isu kenaikan elaun. Tidak pernah sekali pun di mana tibanya delegasi dari penaja para pelajar menyatakan bahawa mereka tidak memerlukan kenaikan elaun. Sebaliknya, ada saja angka yang disebut-sebut dan diharap-harap menjadi kenyataan.
Seringkali aku mendatangi diri aku dengan pandangan-pandangan yang bagi orang kebiasaan zaman kini merupakan teori dan pendapat yang menyimpang dari keperluan para pelajar perantauan. Namun pendapatku ini pastinya mendapat perhatian mereka; samada mahu melepas geram kerana bodohnya pendapatku atau untuk bersama-sama melayani arus yang cuba aku bawakan. Sebenarnya, bukan aku seorang yang berfikir sebegini, malahan puluhan lagi, cuma tidak mahu mencetuskan kekalutan pendapat yang kemudiannya akan membawa kepada pertelingkahan, pengansingan dan pemutusan ikatan silaturrahim sesama sendiri.
Apa yang aku fikir, sebenarnya segelintir pelajar yang seringkali mengharapkan kenaikan elaun ini adalah dari kalangan mereka yang berfikiran keanak-anakan. Their mind revolves around the pole of childhood entertainment. Perhatikanlah mereka. nescaya kamu akan melihat kegembiraan yang datang dari kemewahan dunia. Senyum-senyum yang dibentuk hasil dari ukiran material yang mendampingi mereka. Itulah yang dibawakan oleh syaitan, baik yang dari api mahupun yang dari tanah. Dari raut wajah mereka, tiada ketenangan yang datang dari hati, melainkan yang datangnya dari kilauan manikam. Andaikata kita mendalami kehidupan mereka, perhatikanlah betapa kecilnya dunia mereka. Mereka mempelopori bidang fesyen, gadgetry, hiburan dan yang menyeronokkan hati mereka di sepanjang perantauan mereka. Perhatikanlah, dan fikirkanlah nasib mereka ini. Jalan hidup yang mereka sendiri pilih setelah diberi peluang memilih oleh Allah, Tuhan yang Maha Memiliki jiwa-jiwa manusia dan setiap yang bertaburan di muka bumi.
Bagi aku, jumlah yang aku miliki sudah mencukupi. Jumlah yang bagi aku sesuai buat pelajar yang dulunya mengharapkan penajaan dari segenap badan yang memberikannya. Para pelajar yang di awal periode pengajian tingginya hanya mengharapkan dapat dihantar pergi ke luar negara. Bagi aku, aku hanyalah seorang pelajar, bukan seorang yang dihantar untuk mencari pengalaman yang dipenuhi kemewahan. Aku di sini atas rahmat Allah, atas kemurahan Allah. Bagi aku, memang layak kita menerima sebanyak mana yang diterima kini, kerana kita pelajar yang meminta dari mereka, bukan mereka yang meminta untuk menghantar kita. Kita diberi wang yang cukup untuk hidup, untuk mendapatkan barangan asasi, bukan untuk mendapatkan barangan kemahuan, barangan perhiasan. Sememangnya, kita ditaja kerana mereka mahu kita belajar dan mencari kebaikan yang boleh di ambil dari negara ini, bukan untuk belajar dan hiudp bergaya dan berlagak sudah banyak pengalaman hanya kerana kita belajar di luar negara. Mungkin banyak pengalaman, tapi bukan pengalaman yang membentuk kematangan, sekadar pengalaman.
Fikirkanlah...aku hanya memberitahu sedikit dari akalku yang cetek, agar kita muhasabah diri, apakah yang kita beli itu untuk keperluan ataukah hanya kerana kemahuan? Seringkali kemahuan yang dibina dari persekitaran kita, dari mereka yang bergaya, dari mereka yang membentuk kehidupan dari kemewahan, bukan dari iman dan kematangan. Mungkin bagi yang sedang membaca, aku yakin kalian bukan dari mereka yang bersikap sedemikian, maka jadikanlah ia pengajaran dan peringatan. Aku merasakan bahawa hanya sedikit dari muda-mudi di luar sana yang rela menghabiskan masa untuk membaca hal-hal sebegini kerana masanya banyak dihabiskan di layar perak dan di hadapan televisyen, melayani cerita-cerita yang tidak pernah wujud dan tidak pula memberikan pengajaran yang sesuai buat kehidupan sekarang.

Syukur datang dari hati dan perbuatan kemudian kata-kata...kekufuran juga datang dengan laluan yang sama...syukur itu pula dengan memuji kebesaran Allah dan kemurahan Allah...kufur itu pula dengan menjauhi perintahnya dan menyombongkan diri...moga kita tidak tergolong dari mereka yang sombong dan yang leka...

الهكم التكا ثر
حتى زر تم المقا بر

Bermegah-megahan telah melalaikan kamu
sampai kamu masuk ke dalam kubur

...andaikata manusia diberikan satu lembah yang berisi emas, nescaya mereka akan meminta sabuah lagi yang serupa dengan yang tadi...

No comments: