Friday, May 5

Peperangannya

Darah menitis perlahan dari genggamannya. Tangan kanannya tergantung lesu dari bahu yang letih. Namun ototnya masih tegar, keras disaliri darah panas yang membuak-buak dihangatkan rasa marah dan dendam. Benci yang meluap. Dengusan nafasnya pantas dan kuat, umpama singa muda yang baru usai menjatuhkan mangsanya. Darah menyusuri alur bibirnya, mencari jalan ditarik oleh graviti. Tangan kirinya diangkat perlahan, mengesat darah yang keluar dari luka di pipinya. Kakinya berdiri teguh mengangkat badannya yang membongkok keletihan. Kemeja putihnya terlerai menggerbang. Angin sepoi-sepoi bahasa yang datang meredakan suasana kelam sebentar tadi meniup kemejanya. Matanya meliar memerhatikan tubuh-tubuh yang sedang kesakitan, bergelimpangan di kelilingnya. Ada yang terlentang, ada yang meniarap, ada yang mengerekot menahan sakit ya amat. Lopak-lopak darah berkembang perlahan dari luka-luka mereka. "Ting!!!" bunyi buku limanya jatuh menghempas lantai. Birat di jemarinya jelas kelihatan. Dia melangkah perlahan beredar. Dibuka bajunya dan digulung kemas membaluti luka di tangannya. Lebam-lebam tubuhnya, namun hatinya merasa puas.

Baru seketika tadi keadaan di situ tenang diisi hilai tawa anak-anak muda berbual rancak. Namun dalam sekelip mata, suasana berubah menjadi kalut. Kalut yang disuap ketakutan dan amarah. Darah muda si dia merobek keindahan kanvas kehidupan kafir-kafir itu. Jerit suara hatinya yang disimbah semangat mahu membela nasib agamanya. Tidak lagi dikira apa yang ternanti dihadapannya.

Siapa yang mahu menahannya, maka datanglah engkau. Dirinya sudah nekad. Biar aku dilokap, aku tidak peduli kata hatinya. Aku akan melalui semua itu, asalkan maruah agamaku terbela.

Namun, implikasi tindakannya tidak sekadar disitu. Umpama awan hitam yang besar mulai menutupi bumi sebaik ditiup angin, begitu kuat ia merayap membayangi jiwa-jiwa yang dinaunginya. Khabar berita pemuda islam membantai kafir-kafir kerana rumah ibadat mereka terlalu hingar di kawasan pendudukan islam, kerana mereka mencabar semangat jihad pemuda-pemuda islam; menyebar pantas. Sebaik malam menjerkah, kaca televisyen memaparkan berita tersebut. Ke udara pula di radio perihal yang sama. Menimbulkan pemikiran yang pelbagai. Di tambah pula fakta pemuda itu menyertai kumpulan tabligh mengusutkan lagi pemikiran manusia yang semakin keliru. Dalam masa kurang sehari, berita itu sampai di jaringan internet. Nah! Semua sudah mengetahui. Ya, bangga diri pemuda itu kisah seorang pemuda islam membantai 8 orang kafir diketahui umum. Sekarang mereka mengetahui betapa gagahnya islam. Betapa kuasa yang ada pada seorang pemuda islam yang menghayatinya. Namun benarkah dia meghayatinya? Satu persoalan yang timbul buat mereka yang benar-benar memikirkan permasalahan umat.

Sayup di balik berita hangat ini, bergerak musuh-musuh islam. Ya, kini masalah mereka telah datang satu lagi. "Mudah buat kita menjatuhkan mereka." bisik hati syaitan gendut. Di media mereka, maka mereka menghebahkan akan bahayanya islam. Islam itu agama perang, islam agama keganasan. Mengajar anak-anak muda berperang. Jihad islam itu satu ancaman buat keamanan dunia. Mereka menyampaikannya bukan kepada kaum mereka sendiri, tetapi kepada umat islam sendiri. Meracuni pemikiran-pemikiran yang semakin kotor. Menghapuskan kredibiliti mereka sebagai seorang islam yang berpotensi. Yang sedia kufur menjauhi islam. Yang sedia kufur bertambah memusuhi islam. Yang telah keliru kini menetapkan satu ketetapan, islam itu buruk. Yang dulunya bersahabat dengan jiwa-jiwa islam yang mulia, kini menjauhkan diri. Mengesat bersih kesan islam yang pernah jatuh dari tempias sahabat islam yang mulia itu. Menghapus kepercayaan mereka, berkurang mereka yang hampir menerima kemuliaan islam. Yang di kejauhan melontarkan pendapat, menimbulkan keraguan dalam pemikiran-pemikiran yang baru mahu teguh. Masing-masing membawa usul tersendiri. Yang membela di diamkan. Kegemilangan dan keindahan islam yang berabad lamanya dan tinggi nilainya ditepis dengan kondisi yang satu ini. Habis...Remuk hasrat seorang lagi islam yang dahulunya berkobar mahu berdakwah, kini bertambah satu lagi ketetapan pemikiran yang harus di cari solusinya. "Bagaimana pendekatan yang harus ku bawa kini?" lesu hatinya menyoal. Syaitan yang sesat membisikkan pula didada si pendakwah, "Hentikan hasratmu. Lakukan sahaja ibadah buat dirimu. Nanti kamu pula yang menjadi seperti pemuda itu. Tinggalkan usrahmu. Memang itu yang mereka mahu jadikan kamu. Menghancurkan keamanan dengan keganasan. Nanti mereka tanamkan semangat jihad dalam kamu, kemudian kamu ditolak berperang." Sialan syaitan. Merobekkan benteng islam yang satu lagi. Sudah banyak yang rompong, satu lagi yang koyak.

Itu yang di kejauhan. Yang di sekitarnya memakan jiwanya. Ragutan yang menyentaknya. Sahabat-sahabat yang dulunya tertawa bersama, meninggalkan dia keseorangan, hanya melemparkan jelingan layu, melambai harapan yang kami masih bersamamu. Keluarga si sahabat pula mengunci pintu, mengurung si anak, menapis setiap rakan yang dimiliknya. Mereka tidak mahu anak-anak mereka menjadi seperti itu juga. Apa kata orang, ha...ekstrimis! Hatinya sendiri kini goyah. Bergetar jiwanya dalam keraguan. Datang lagi si syaitan jelik... bisik, bisik dan bisik lagi kerjanya. Habis si pemuda itu pula. Saudara-mara yang dulunya menepuk bahu memberi sokongan "Bagus kau ikut tabligh ni, nanti boleh kuatkan iman." kini menapak jauh meninggalkan keluarga si pemuda. Mana kata-kata semangat mereka? Turut ikut bersama omongan kosong mereka. Saudara-maranya juga kini menutup pintu rumah dari keluarga si pemuda, tidak mahu dikait hubung dengan si pemuda.

Lantas segalanya berubah. Pemikiran yang di jauhan, yang di dekat, semuanya berkecamuk. Keliru. Kini mereka was-was. Was-was dengan islam yang dibawakan oleh mamat-mamat tabligh. Kini pintu-pintu mereka di tutup kemas tatkala mamat-mamat tabligh datang memberi salam. Kalis bunyi, kedap udara. Biar lemas tak bernafas asal tak ada anak-anak yang sibuk pergi membelasah anak-anak kafir lagi.

Kasihan mereka. Di putar belit dari semua arah. Tersimpul pemikiran-pemikiran mereka. Kini mereka terperangkap di dalam kekeliruan yang dicipta bentuk oleh syaitan gendut dan yang tak gendut. Di tambah pula dengan bisikan-bisikan halus syaitan yang dari golongan jin dan manusia.

Hanya daripada tindakan si dia yang bersemangat tinggi dan pertimbangan yang singkat, punah segala perancangan, sulit lagi jalan yang perlu dilalui. Kini segalanya secara total berubah. I depict this story to give a glinch of what a short minded guy with a mount of enthusiasm and spirit could do to the ummah. Ana menyampaikan kisah ini kerana ana terfikirkan permasalahan ini setelah berbual dengan seorang akhi serta komentar seseorang yang sungguh penting dalam hidup ana baru-baru ini. Ini merupakan permasalahan yang ana renung kembali agar ana dapat belajar menganalisa dan mempertimbangkan tindak-tanduk ana. Mungkin benar sekali ungkapan seorang rijal yang bersemangat besar punyai kekuatan untuk menghancurkan islam seandainya jiwa dan ilmunya tidak sehebat semangatnya. Namun bukanlah yang ana cuba sampaikan bahawa islam itu tidak punya unsur mempertahankan diri atau jihad itu tidak patut namun kerelevenannya tiba pada satu-satu masa dan kondisi yang tertentu. Barangkali analisa sirah nabawiyah dapat menjelaskan situasi atau kondisi yang memerlukan kita berperang. Di dalam situasi sekarang ini, apa yang lebih penting adalah memperbetulkan kefahaman umat yang semakin hari semakin terpesong. Semakin lama semakin kabur dan kalut. Islam yang sebenar yang perlu dicapai dan diterapkan, iman yang benar yang perlu dipupuk. Bukan sekadar meningkatkan kehendak untuk beruzlah dan beribadah kepada Allah demi kepentingan menjaga tempat kita di syurga semata-mata.

"Qum fa anzir"

No comments: